22,030 jangkitan baharu Covid-19 semalam, 308,942 kes masih aktif

Ketika dua negara jiran – Indonesia dan Singapura – merekodkan jumlah jangkitan harian baharu Covid-19 semalam (14 Mac 2022) di bawah paras 10,000, Malaysia masih tercari-cari formula bagi mengurangkan kes baharu yang masih melepasi 20,000 kes setiap hari.

Masih berpegang kepada – jangkitan sekarang tinggi tetapi jumlah kemasukan ke hospital dan kematian lebih rendah berbanding kemuncak varian Delta pada Julai dan Ogos tahun lalu – usaha yang dilakukan hanyalah bergantung kepada program imunisasi dan nasihat selain mengarahkan 298,123 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Menjelang fasa peralihan ke endemik yang tinggal kira-kira 15 hari sahaja lagi, negara merekodkan 22,030 jangkitan baharu semalam, turun 505 kes berbanding 22,535 kes pada Ahad.

Sejak Covid-19 mula merebak di negara ini awal 2020 lalu hingga semalam, Malaysia mencatat 3,845,601 kumulatif positif – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia – dengan 3,502,760 pesakit telah sembuh, dan 33,899 kes kematian.

Vietnam kini mengatasi Indonesia dari segi kumulatif positif apabila merekodkan 6,377,438 kes, berbanding Indonesia sebanyak 5,900,124 kes, manakala Filipina di tempat keempat dengan 3,670,739 kes.

Berdasarkan data laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi, sebanyak 308,942 kes masih aktif.

Daripada jumlah itu 2,031 pesakit ditempatkan di PKRC; 8,400 dimasukkan ke hospital dan 388 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 215 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, statistik CovidNOW juga menunjukkan sembilan negeri mencatat peningkatan jangkitan harian semalam.

Johor yang baharu sahaja menyelesaikan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu merekodkan 2,419 jangkitan baharu semalam berbanding 1,972 pada Ahad, menjadikan kumulatif sebanyak 351,217 kes, dengan 326,243 pesakit telah sembuh, 20,714 kes masih aktif dan 4,260 kematian direkodkan.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 19,636 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 100 ditempatkan di PKRC; 941 dimasukkan ke hospital; dan 37 pesakit dirawat di ICU, dengan 31 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 13 Mac, seramai 3,061,647 atau 80.7 peratus daripada populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, manakala 3,257,561 atau 85.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Selain itu seramai 2,019,596 atau 73.9 peratus daripada populasi dewasanya menerima dos penggalak.

Sementara itu, Kedah juga mencatat peningkatan jangkitan daripada 2,332 kes pada Ahad kepada 2,382 semalam, diikuti Kuala Lumpur (2,214 kes baharu, 1,594 Ahad); dan Pulau Pinang (2,137 kes baharu, 1,548 Ahad).

Terengganu mencatat 1,222 kes baharu berbanding 1,039 pada Ahad; Kelantan (1,089 kes baharu, 1,005 Ahad); Melaka (564 kes baharu, 563 Ahad); Putrajaya (159 kes baharu, 121 Ahad); dan Perlis (153 kes baharu, 89 Ahad).

BERITA BERKAIT
POPULAR