22 kematian di Selangor semalam, apa lagi kerajaan PKR buat?

Masih buta lagikah kerajaan PKR Selangor terhadap angka-angka jangkitan baharu dan jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri itu yang sentiasa dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Masih pekak lagikah kerajaan PKR Selangor terhadap suara-suara rakyat negeri itu yang menderita akibat Covid-19, sedang pemimpin peringkat negeri bercanggah pendapat?

Masih percaya lagikah kerajaan PKR Selangor kepada Pasukan Khas Covid-19 Selangor yang diketuai Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengatakan kes jangkitan dan kematian di negeri itu masih rendah?

Atau kerajaan PKR Selangor sedang menunggu masa untuk menuding jari menyalahkan Kerajaan Pusat kerana kegagalan menangani penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu dan negara?

Mengaku sebagai negeri terkaya di Malaysia, kekal menjadi penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dengan 23.7 peratus pada 2019, kononnya berjaya menarik berbilion-bilion wang pelabur, tetapi dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, kerajaan negeri Selangor gagal.

Semalam, KKM mengumumkan 22 lagi kematian akibat Covid-19 di Selangor dan 2,163 jangkitan baharu. Sehari sebelumnya Selangor mencatatkan 10 kes kematian dan 2,277 jangkitan baharu.

Kewujudan pasukan khas Covid-19 tidak membawa apa-apa makna jika hanya pandai bercakap dan bermekap. Luaran dilihat cantik, tapi dalamannya masih membawa agenda politik kepartian.

Apabila ditegur, tidak boleh menerima kerana kononnya mereka ada pasukan petugas khas yang dianggotai ‘pakar-pakar’ yang hanya akan membuat cadangan dari bilik berhawa dingin, bukannya turun ke padang melihat sendiri situasi semasa.

Kini sudah ada suara-suara yang mendesak pasukan khas itu dibubarkan kerana bukan berfungsi untuk melawan jangkitan Covid-19 sebaliknya hanya pandai menyanggah langkah-langkah diambil oleh KKM.

KKM sudah mengatakan pandemik Covid-19 di Selangor semakin tenat, tetapi pasukan khas itu hanya berkata ‘tidak mengapa’, kadar kebolehjangkitan masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang.

Kenapa hendak dibandingkan dengan negeri lain?

Sebab itu, Dewan Muslimat PAS melihat kerajaan PKR Selangor seolah-olah tidak menghargai nyawa rakyatnya apabila membandingkan peratusan populasi penduduknya dengan negeri lain.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata tindakan membandingkan jumlah jangkitan dengan peratusan populasi penduduk di negeri berkenaan adalah keputusan yang tidak cermat.

‚ÄúSetiap nyawa adalah penting tidak kira daripada populasi yang tinggi ataupun rendah. Malah, di kawasan populasi yang tinggi seperti Selangor, lagi membimbangkan kerana kadar jangkitan dan penularan yang tinggi dan cepat,” katanya.

Sekarang ini, Kerajaan Pusat telah menggerakkan pelan kontigensi untuk dilaksanakan di Selangor. Kenapa ada pelan kontigensi? Sebab keadaan sudah semakin gawat. Tidakkah ini pun tidak diketahui oleh kerajaan PKR Selangor dan Dr Dzulkefly?

Antara pelan kontigensi yang dilaksanakan termasuk menugaskan kakitangan kesihatan dari klinik yang kurang pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham berkata, Kerajaan Pusat akan memberi insentif khusus kepada mereka yang bertugas menangani kes-kes Covid-19, termasuk elaun.

Tidak bolehkah negeri sekaya Selangor turut membantu menghulurkan dana ehsan kepada petugas barisan hadapan? Berkongsi bayaran elaun bagi mengurangkan beban Kerajaan Pusat? Atau tidak boleh kerana berbeza parti memerintah?

Jangan biarkan rakyat mati kerana pemimpin bermain politik!

BERITA BERKAIT
POPULAR