22 kematian di Johor semalam

Angka kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara sejak awal 2020 hingga semalam (13 Mac 2022) meningkat kepada 33,807 kes, menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Semalam sahaja sebanyak 87 kes kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan, termasuk 25 pesakit meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan atau kes ’brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada jumlah kematian BID semalam turut melibatkan 309,214 individu yang menjalani kuarantin di rumah kerana sehingga kini tiada maklumat yang diberikan oleh KKM.

Sejak seminggu lalu sebanyak 524 kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 141 kes melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 132 kes (70-79 tahun); 100 (60-69 tahun); 76 kes (50-59 tahun); 41 kes (40-49 tahun); 16 kes (30-39 tahun); 10 kes (18-29 tahun); empat kes (5-11 tahun); tiga kes (0-4 tahun); dan satu kes (12-17 tahun).

Statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Johor mencatat 22 kematian semalam, jumlah kedua tertinggi setelah merekodkan 25 kes pada 2 Mac lalu.

Sejak akhir Februari lalu jumlah kematian akibat Covid-19 di Johor terus meningkat dengan sehingga kini negeri itu mencatat jumlah terkumpul sebanyak 4,245 kes, kedua tertinggi selepas Selangor yang merekodkan 10,347 kes.

Sejak awal 2020 hingga semalam, Johor mencatat kumulatif positif sebanyak 348,798 kes dengan 322,320 pesakit telah sembuh, dan 22,233 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 21,077 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 129 ditempatkan di PKRC; 986 dimasukkan ke hospital; dan 41 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Selangor merekodkan 18 kes kematian semalam, diikuti Perak (10 kes); masing-masing enam kes di Pulau Pinang serta Kuala Lumpur; dan Pahang (lima kes).

Kedah dan Kelantan pula masing-masing mencatat empat kes kematian, masing-masing tiga di Melaka, Negeri Sembilan serta Terengganu; Sarawak (dua); dan satu kes di Sabah.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 13 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR