
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 25 Mac 2022.
Jangkitan harian Covid-19 untuk tempoh 24 jam semalam (25 Mac 2022) bagi seluruh negara turun semula berbanding tempoh sama pada Khamis, menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) tengah malam tadi.
Dalam tempoh itu, sebanyak 21,839 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara, turun berbanding 24,316 pada Khamis, menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 4,101,081 kes.
Sejak awal 2020 lalu hingga semalam, seramai 3,796,975 pesakit telah sembuh daripada jangkitan Covid-19, 34,717 kematian dilaporkan dan 269,389 kes masih aktif, menurut laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 262,122 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,266 ditempatkan di PKRC, 5,710 dimasukkan ke hospital; dan 291 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 188 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga 14 Mac, seramai 25,794,167 atau 79.0 peratus populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi; 27,449,858 atau 84.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos; dan 15,574,997 atau 66.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.
Statistik juga menunjukkan enam negeri mencatat peningkatan jangkitan harian semalam membabitkan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Putrajaya dan Labuan.
Johor mencatat 1,235 jangkitan baharu berbanding 986 kes pada Khamis, menjadikan kumulatif positif sebanyak 367,640 dengan 349,612 pesakit telah sembuh, 4,391 kematian dilaporkan, dan 13,637 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 12,853 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 73 ditempatkan di PKRC, 679 dimasukkan ke hospital; dan 32 dirawat di ICU dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga 24 Mac, seramai 3,065,051 atau 80.8 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, manakala 3,276,136 atau 86.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Seramai 2,056,305 atau 54.2 peratus individu dewasa di negeri itu menerima suntikan dos penggalak.
Sementara itu, Negeri Sembilan mencatat 1,134 kes baharu berbanding 888 pada Khamis, diikuti Melaka (686 kes baharu, 594 Khamis); Terengganu (438 kes baharu, 430 Khamis); Putrajaya (130 kes baharu, 84 Khamis); dan Labuan (80 kes baharu, 71 Khamis).