214 kes baharu Covid-19 kategori tiga hingga lima

Sebanyak 214 daripada 28,298 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 28,084 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 negara berjumlah 3,900,433, menurut laporan Bernama.

“Sementara itu, 33,009 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,567,003 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 214 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima itu, 56 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi manakala 101 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 57 kes telah menerima dos penggalak manakala 119 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 82 kes mempunyai komorbid,” katanya.

Beliau berkata 1,743 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam, melibatkan 743 kes kategori tiga hingga lima dan 1,000 kes kategori satu dan dua.

Katanya 374 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 233 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU, Dr Noor Hisham berkata antara negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih ialah Kelantan (76 peratus), Kuala Lumpur (70 peratus), Johor (69 peratus), Putrajaya (65 peratus), Perak (64 peratus), Selangor (62 peratus) dan Sarawak (61 peratus).

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara kini ialah 0.96 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.15.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 ialah Kuala Lumpur (1.13), Terengganu (1.07), Negeri Sembilan (1.06), manakala Perak, Putrajaya dan Johor (1.03). Pulau Pinang, Selangor dan Melaka masing-masing (1.02).

BERITA BERKAIT
POPULAR