[KEMAS KINI] 212 pesakit Covid-19 meninggal

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 212 pesakit Covid-19 yang dirawat di seluruh negara meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, 26 membabitkan bukan warganegara Malaysia. Pada masa sama 16 kes meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘Brought In Death’ (BID) turut dilaporkan.

Mengikut data dikeluarkan KKM Johor, Kedah, Pahang, Sabah, dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan jumlah kematian

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan keseluruhan kes kematian sejak negara dilanda pandemik Covid-19 kepada 10,961 kes.

Pada masa sama beliau berkata jumlah pesakit yang disahkan sembuh adalah sebanyak 15,187 kes menjadikan kumulatif 1,041,585 kes sembuh berbanding jumlah kumulatif positif sejak awal tahun lalu sebanyak 1,279,776 kes.

“Sebanyak 227,230 kes masih aktif, manakala 1,095 pesakit kini masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 579 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 turun lagi buat hari ketiga hari ini apabila merekodkan 17,236 kes, berbanding kali terakhir paling tinggi direkodkan pada 6 Ogos lalu sebanyak 20,889 jangkitan.

Jumlah ini termasuk 2,782 kes yang turut membabitkan bukan warganegara Malaysia. Semalam sebanyak 18,688 kes positif direkodkan, manakala 19,257 dilaporkan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 372 kes atau 2.2 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala 16,864 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Secara keseluruhan, hanya 4,556 kes (26.4 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata berdasarkan data terkini pada 8 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07.
Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.25) diikuti oleh Terengganu (nilai RT 1.19), dan Sabah (nilai RT 1.17). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis, katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham memaklumkan 36 kluster baharu turut dikesan dalam tempoh 24 jam itu menjadikan keseluruhannya 3,974 kluster dengan 2,742 telah ditamatkan, manakala 1,232 lagi masih aktif.

Daripada jumlah kluster itu, 19 membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (13 kluster), dua kluster pusat tahanan di Kelantan dan Pulau Pinang, satu kluster keagamaan (Johor) dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi (Kedah).

Daripada jumlah kluster tempat kerja, lapan dilaporkan di Johor, Selangor (empat), Kedah (dua) dan masing-masing satu di Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, dan Terengganu.

Manakala lapan kluster komuniti dikesan di Kelantan, Pahang (tiga), dan masing-masing satu di Selangor dan Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR