21 kluster baharu dikesan hari ini, tertinggi sejak awal tahun

Sebanyak 21 kluster baharu Covid-19 dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi – tertinggi sepanjang tahun ini, menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), petang ini.

Bagaimanapun, semua maklumat lanjut berkaitan kluster baharu itu hanya akan disiarkan dalam laman sesawang Covidnow kendalian KKM, selepas tengah malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kluster Covid-19 yang dikesan sejak pandemik itu menular kini meningkat kepada 6,349 kluster dengan 6,090 telah ditamatkan dan 259 lagi masih aktif.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh itu seramai 3,646 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,766,254 atau 97.2 peratus daripada 2,844,969 kumulatif kes positif.

“Sebanyak 429 kes import dikesan dalam tempoh itu yang melibatkan 289 rakyat tempatan dan 140 warganegara asing.

“Daripada jumlah kes hari ini, 4,315 adalah penularan tempatan yang membabitkan 4,112 warganegara Malaysia dan 203 rakyat asing.

“Seramai 129 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 72 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 30 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah kes hari ini melibatkan pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 4,714 atau 99.4 peratus peratus lagi pesakit kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR