21 kematian di Selangor semalam

Seramai 95 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam (Selasa, 15 Mac 2022), meningkat sedikit berbanding 92 kes yang direkodkan pada Isnin, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini awal pagi tadi, jumlah kematian baharu itu turut melibatkan 23 pesakit yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada 23 kes BID itu turut membabitkan 293,435 pesakit yang diarah menjalani kuarantin di rumah setelah disahkan dijangkiti Covid-19.

Untuk rekod, individu yang diarah menjalani kuarantin itu adalah mereka yang positif Covid-19, tetapi mempunyai gejala ringan atau tiada gejala (asimptomatik) dan tidak memerlukan rawatan yang intensif. Individu perlu menjalani pengasingan diri selama 10 hari.

Sejak awal 2020 lalu hingga semalam, jumlah kumulatif kematian kini meningkat kepada 33,994 kes, termasuk 7,099 kes BID. Jumlah kematian itu adalah yang keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, selepas Indonesia, Filipina, dan Vietnam.

Berdasarkan statistik CovidNOW, Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi semalam, melibatkan 21 pesakit Covid-19, menjadikan kumulatif kes sebanyak 10,382 kematian.

Seramai 16 pesakit Covid-19 di Johor meninggal dunia semalam menjadikan kumulatif kematian di negeri itu meningkat kepada 4,276 kes.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 353,458 kumulatif positif, dengan 329,316 pesakit telah sembuh, dan 19,866 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 18,823 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 92 ditempatkan di PKRC; 915 dimasukkan ke hospital; dan 36 dirawat di unit rawatan rapi dengan 30 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri-negeri lain, Perak mencatat 14 kes kematian semalam, diikuti Kedah (10); Pulau Pinang (lapan); Sabah (lima); masing-masing empat di Melaka, Pahang serta Perlis; masing-masing tiga di Negeri Sembilan serta Sarawak; Kelantan (dua kes); dan Terengganu (satu kes).

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR