20,923 kes baharu semalam

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (26 Mac 2022) turun sedikit berbanding Jumaat, namun kekal melebihi paras 20,000 kes.

Data laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini jam 7.30 pagi tadi menunjukkan seramai 20,923 individu di seluruh negara disahkan dijangkiti Covid-19 pada Sabtu, turun berbanding 21,839 yang dicatat pada Jumaat.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak Covid-19 menular di negara ini awal 2020 lalu meningkat kepada 4,122,004 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.

Sehingga semalam seramai 3,844,766 pesakit Covid-19 telah sembuh, 34,751 kematian dilaporkan dan 242,487 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 235,596 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,159 ditempatkan di PKRC; 5,430 dimasukkan ke hospital; dan 302 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 198 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Namun, berita baiknya ialah hanya lima daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan sahaja yang mencatat jangkitan baharu melebihi 1,000 kes.

Sementara, dalam tempoh 24 jam semalam hanya empat negeri yang merekodkan peningkatan jangkitan baharu harian.

Data menunjukkan Kuala Lumpur mencatat 1,855 kes baharu semalam, berbanding 1,586 kes pada Jumaat, diikuti Negeri Sembilan (1,304 kes baharu, 1,134 Jumaat); Pahang (638 kes baharu, 608 Jumaat); dan Perlis (97 kes baharu, 47 Jumaat).

Kuala Lumpur kini mencatat kumulatif positif sebanyak 320,957, dengan 291,122 pesakit telah sembuh, 2,779 kematian dan 27,056 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 26,486 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 120 ditempatkan di PKRC; 429 dimasukkan ke hospital; dan 21 dirawat di ICU, dengan 15 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor, walaupun jangkitan menurun semalam, tetapi kekal mencatat kes tertinggi harian berbanding negeri lain sebanyak 10,790 kes (10,842 pada Jumaat).

Sehingga Jumaat lalu, seramai 25,795,683 atau 79.0 peratus populasi Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas telah lengkap divaksinasi, manakala 27,462,692 atau 84.1 peratus lagi berusia lima tahun dan ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 15,595,578 atau 66.3 peratus individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima suntikan dos penggalak.

Sehingga jam 7.30 pagi itu tiada kemas kini berhubung kes berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawangnya CovidNOW.

BERITA BERKAIT
POPULAR