[KEMAS KINI] Kematian paling tinggi, pesakit di ICU 1,009

Angka kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak ke paras tertinggi sebanyak 207 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata angka itu menjadikan kumulatif kematian kepada 8,201 kes sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu.

Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi sebanyak 57 kes, diikuti Kuala Lumpur (52 kes), Johor (24 kes), Kedah (19 kes), Melaka (18 kes) dan Negeri Sembilan (14 kes).

Pada masa sama beliau berkata sebanyak 9,372 pesakit disahkan sembuh sekali gus menjadikan keseluruhannya 853,913 pesakit telah sembuh.

“Sebanyak 165,840 kes lagi masih aktif. Jumlah dirawat di unit rawatan rapi juga meningkat kepada 1,009 dengan 524 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan daripada 14,516 kes baharu dilaporkan hari ini, 3,033 membabitkan bukan warganegara.

Daripada 14,516 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak:

  • 95 kes, 0.7 peratus (97.9% kes tiada sejarah vaksinasi) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan);
  • 77 kes, 0.5 peratus (85.7% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen);
  • 83 kes, 0.6 peratus (67.5% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 3 (radang paru-paru);
  • 7,045 kes, 48.5 peratus (87.6% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 2 (bergejala ringan); dan
  • 7,216 kes, 49.7 peratus (95.6% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 1 (tidak bergejala).

“Secara keseluruhannya, pada mula didiagnosa: 1.8% kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3-5 (84% tiada sejarah vaksinasi) dan 98.2% kes pada kategori 1 dan 2 (92% tiada sejarah vaksinasi).

“Didapati majoriti besar kes yang baharu didiagnosa Covid-19 iaitu 92% tidak mempunyai sejarah vaksinasi. Oleh itu, segeralah dapatkan vaksinasi agar anda dan keluarga terlindung daripada bahaya jangkitan Covid-19.

Mengenai kadarkebolehjangkitan beliau berkata berdasarkan data terkini pada 25 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.15.

Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.36) diikuti oleh Kedah (nilai RT 1.26) dan Sabah (nilai RT 1.24). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga 33 kluster baharu direkodkan dengan 21 daripadanya adalah jangkitan di tempat kerja, 10 membabitkan kluster komuniti dan pendidikan (dua).

Enam kluster tempat kerja direkodkan di Johor; Selangor (tiga); masing-masing dua di Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; dan masing-masing satu kluster di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, melaka, Pahang dan Kelantan.

Kelantan, Perak, Kedah, Melaka, Pahang, Selangir, dan Kuala Lumpur, turut mencatatkan kluster komuniti, manakala kluster pendidikan direkodkan di Kedah dan Kelantan.

BERITA BERKAIT
POPULAR