
Orang ramai khususnya warga emas dan individu berisiko digesa mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.
Sebanyak 2,025 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara semalam (Selasa, 28 Jun 2022) – termasuk 20 kes import – naik sedikit berbanding 1,894 kes yang dicatat pada Isnin.
Daripada jumlah jangkitan semalam, 1,399 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak; manakala, 425 kes (penerima dua dos); 177 kes (tidak menerima vaksinasi); dan 24 kes (belum lengkap divaksinasi).
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,560,583 kes, dengan 4,497,078 pesakit telah sembuh, termasuk 2,367 yang pulih semalam, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).
Sehingga semalam kes aktif turun lagi kepada 27,747 kes berbanding 28,093 yang dicatat pada Isnin, dengan 26,541 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah, manakala 14 lagi dimasukkan ke PKRC.
Seramai, 1,155 pesakit pula menerima rawatan di hospital, manakala 37 pesakit kini dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 19 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Berikut adalah pecahan kes harian semalam serta kumulatif positif sejak 2020 mengikut negeri:
- Selangor – 442 (1,387,651);
- Johor – 54 (385,875);
- Sabah – 160 (374,624);
- Kuala Lumpur – 745 (369,944);
- Sarawak – 52 (307,798);
- Kedah – 52 (301,585);
- Pulau Pinang – 111 (284,066);
- Kelantan – 25 (248,320);
- Negeri Sembilan – 83 (207,463);
- Perak – 103 (206,688);
- Pahang – 31 (172,332);
- Terengganu – 20 (126,595);
- Melaka – 54 (125,877);
- Labuan – 14 (21,478);
- Putrajaya – 71 (21,709); dan
- Perlis – 8 (17,578).
Sementara itu, KKM turut memaklumkan empat pesakit meninggal dunia semalam akibat komplikasi Covid-19, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Empat kes kematian itu masing-masing direkodkan di Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,758 kes, termasuk 7,585 kes BID.