2022: Mampukah industri pelancongan bangkit?

Kita semua sedia maklum selepas sekian lama dunia dilanda pandemik Covid-19, trend pelancongan turut berubah.
Ramai yang mempersoalkan mampukah industri pelancongan bangkit?

Lebih membimbangkan, seluruh dunia kini semakin bimbang dengan kehadiran varian Omicron. Seolah-olah Covid-19 tiada penghujungnya dan sekali lagi penduduk dunia berkemungkinan berdepan dengan isu perintah berkurung.

Pun begitu, pada peringkat global, United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) meramalkan pemulihan sektor pelancongan dijangka berlaku pada tahap 60 peratus tahun ini dan pulih sepenuhnya tahun depan.

Pandemik yang berlaku sepanjang 2020 hingga 2021 banyak memberi pengajaran kepada sektor pelancongan negara, khususnya dalam pengurusan krisis dan komunikasi.

Tempoh dua tahun kemarau dalam sektor pelancongan sudah cukup memberikan tamparan hebat kepada negara. Ada hotel ditutup, agensi pelancongan gulung tikar dan restoran kena lelong, malah ramai hilang mata pencarian.

Umumnya lebih 4 juta individu bergantung harap kepada sektor pelancongan terjejas akibat pandemik ini.
Di sebalik kesusahan ada kesenangan. Begitu jugalah kita harapkan dalam konteks sektor pelancongan di negara ini.

Lain pula yang melanda Malaysia baru-baru ini. Bencana seperti banjir dan tanah runtuh juga mempengaruhi perkembangan industri pelancongan. Selain isu Covid-19, bencana tersebut dilihat memberi tamparan buat sektor pelancongan.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin, banyak produk pelancongan khususnya di Janda Baik, Bentong, Lanchang, Temerloh, Gambang dan Kuantan di Pahang serta Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

“Kemusnahan itu mengakibatkan kerugian besar mencecah puluhan juta ringgit,” katanya.

Hafiz berkata, penggiat pelancongan Terengganu juga tetap menerima tempias secara tidak langsung walaupun situasi banjirnya pada masa ini tidak ­kronik seperti negeri-negeri lain.

Ujar beliau, impak jangka pendek ialah ramai pengunjung sukar ke Terengganu berikutan akses terhadap disebabkan penutupan banyak jalan utama yang ditenggelami banjir.

“Bencana banjir ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka sederhana berhubung kemasukan pelancong ke Pantai Timur termasuk Terengganu.

“Kita boleh jangka ramai yang merancang untuk melancong terpaksa membatalkannya. Sebaliknya tumpuan kewangan akan diberikan untuk membaiki dan mengganti aset yang rosak akibat bencana itu,” katanya.

Hafiz berkata, kemungkinan itu secara tidak langsung memberi cabaran besar sektor pelancongan pada tahun 2022 kerana kebergantungan terhadap pe­ngunjung domestik amat tinggi dalam tempoh dua tahun ini.

Selain itu, beliau menambah sukar untuk menarik pelancong asing pada masa terdekat ekoran peningkatan kes varian baharu, Omicron di peringkat global.

BERITA BERKAIT
POPULAR