
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 21 Mei 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Sabtu, 21 Mei 2022) turun sedikit kepada 2,021 kes berbanding 2,063 yang dicatat pada Jumaat.
Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 1,408 kes melibatkan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19; penerima dua dos (404 kes); individu tidak divaksinasi (174 kes); dan belum lengkap vaksinasi (35 kes).
Jumlah baharu itu juga menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,489,503 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, selepas Vietnam dan Indonesia.
Daripada jumlah kes positif itu, 4,425,777 pesakit telah sembuh, dan 28,085 kes masih aktif.
Seramai 26,980 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah; 18 ditempatkan di PKRC; 1,048 dirawat di hospital; dan 39 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Data laman sesawang CovidNOW menunjukkan lima negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu berbanding pada Jumaat.
Selangor mencatat 878 kes baharu berbanding 786 pada Jumaat, diikuti Pulau Pinang (126 kes, 119 Jumaat); Negeri Sembilan (125 kes, 120 Jumaat); Johor (85 kes, 68 Jumaat); dan Sarawak (52 kes, 50 Jumaat).
KKM juga memaklumkan tiga pesakit meninggal dunia di hospital akibat komplikasi Covid-19 semalam, menjadikan kumulatif 35,641 kes sejak Mac 2020.
Dua daripada kes kematian itu direkodkan di Johor, manakala satu lagi di Pahang.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 21 Mei 2022.