2,000 pelajar akan diberi tablet, pakej internet enam bulan: Rina Harun

Pelajar tidak berkemampuan akan diberi tablet berserta pakej langganan data internet selama enam bulan, bagi membantu mereka memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bantuan itu akan disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menyasar 2,000 pelajar menerusi program MyTablet.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata inisiatif sokongan itu diharap dapat membantu pelajar yang terkesan akibat Covid-19, atau mereka yang terpaksa berkongsi peranti pintar dengan adik-beradik lain.

“Melihat kepada keperluan pembelajaran dalam talian, kita akan membantu pelajar tidak berkemampuan dengan memberi tablet berserta pakej langganan data internet selama enam bulan.

“Ini adalah usaha kementerian bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan lancar, di samping mengelak anak keluarga tidak berkemampuan daripada tercicir atau hilang minat terhadap persekolahan,” katanya.

Terdahulu, Rina bertemu empat keluarga di Flat Sri Kedah dan satu keluarga di Taman Setapak Indah di ibu negara untuk menyampaikan bantuan sokongan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Selain sumbangan tablet, setiap keluarga terbabit turut menerima Bakul Prihatin Negara, Kotak Kasih Yayasan Kebajikan Negara serta bantuan yuran pengajian, lampin pakai buang dan wang tunai.

Rina berkata, kementeriannya berharap masyarakat terus menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, di samping terus bersikap peduli dengan melaporkan golongan memerlukan kepada pihak berwajib.

“Contohnya laporan isu sosial boleh dibuat kepada Talian Kasih 15999 atau talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berhampiran,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR