200 rakyat Malaysia di Australia terjejas banjir

Seramai kira-kira 200 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti terkesan dalam kejadian banjir di wilayah Queensland, Australia, lapor Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini Wisma Putra berkata seramai 75 daripada mereka telah dipindahkan oleh pihak berkuasa tempatan ke pusat perlindungan sementara (PPS), manakala 35 orang lagi sedang menunggu bantuan untuk dipindahkan.

Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata 75 mangsa banjir itu adalah pelajar di bawah pelbagai agensi kerajaan dan ditempatkan di PPS University of Queensland.

Saifuddin memaklumkan keseluruhannya terdapat 348 rakyat Malaysia yang berdaftar di Queensland, termasuk kira-kira 200 pelajar, lapor Bernama.

Menurutnya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra dengan kerjasama wakil komuniti Malaysia di Brisbane, Chan Wai Kiong dan Presiden Majlis Pelajar Malaysia di Australia (MASCA) Razin Hadi, sedang memantau dan menyelaraskan urusan perpindahan rakyat Malaysia yang terjejas ke PPS.

“Kerajaan Negeri Queensland melalui siaran televisyen telah memaklumkan bahawa situasi banjir dijangka berlanjutan bagi tempoh tiga hingga lima hari akan datang.

“Menurut agensi ramalan cuaca, situasi hujan yang sedang bergerak menghala ke arah selatan dijangkakan menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Timur laut New South Wales serta Sydney,” katanya melalui hantaran di laman Twitternya .

Saifuddin berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Sydney sentiasa bersiap siaga dan memantau serta melaporkan perkembangan banjir ini dari semasa ke semasa.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas supaya berhubung terus dengan pihak Suruhanjaya Tinggi melalui talian +61261 200 300/310 atau +61416 334 901 atau e-mel ke [email protected]

Berdasarkan laporan pihak berkuasa Queensland, hujan yang bermula sejak 25 Februari lalu dijangka akan berterusan selama tiga hingga lima hari lagi.

Antara kawasan yang terkesan adalah Brisbane City, Bulimba, Hamilton, Milton, New Farm, Newstead, Norman Park, Oxley, Rocklea, South Brisbane, St Lucia, Teneriffe, Toowong, West End, Windsor dan Yeronga.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, tiada kematian akibat banjir yang dilaporkan setakat ini melibatkan rakyat Malaysia.

Menurut laporan media, ribuan penduduk di pantai timur Australia diarahkan meninggalkan kediaman mereka susulan hujan lebat yang menenggelamkan beberapa buah bandar. Angka kematian meningkat kepada lapan orang setakat ini.

Seramai 1,544 orang dipindahkan ke PPS, manakala lebih 1,000 sekolah di pantai timur negara itu ditutup.

BERITA BERKAIT
POPULAR