20 sudah ditahan terlibat rusuhan langgar SOP disokong pemimpin UMNO

Polis sudah menahan seramai 20 orang dipercayai terlibat dalam rusuhan melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang disokong pula seorang pemimpin tertinggi UMNO Johor selepas tular video dalam laman media sosial semalam di Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua lelaki yang ditahan merupakan penduduk setempat, berumur 16 hingga 28 tahun.

“Berdasarkan semakan semuanya tiada rekod jenayah dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mei,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 2 pagi semalam di persimpangan Pekan Parit Raja di Kilometer 22.5 Jalan Batu Pahat-Kluang.

“Kumpulan tersebut yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka, selain merentang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

“Kain rentang yang sama juga telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Ismail turut memberitahu siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 144, 269 dan 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 8 Akta Bahan Letupan; Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Malam tadi, polis memberitahu sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun untuk membantu siasatan, setelah mendapat makluman daripada orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ di sebuah jejantas semalam, selain sebuah video menunjukkan perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Terdahulu hari ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang berhimpun di Parit Raja, Batu Pahat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

“Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja. Bukan itu sahaja, ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk ‘Kerajaan Gagal.Puad seterusnya mengucapkan tahniah kepada orang

“Semoga PM 8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berpijak di bumi nyata. Tahniah orang Parit Raja,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

BERITA BERKAIT
POPULAR