
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata 12 daripada 71 individu yang menjalani saringan ujian air kencing didapati positif dadah.
Polis mendedahkan hampir 20 peratus rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand dikesan positif ganja hasil saringan rambang di pintu masuk sempadan di Wang Kelian dan Padang Besar.
Angka berkenaan diperoleh berdasarkan saringan rambang ke atas 71 rakyat Malaysia yang baharu pulang dari negara jiran yang menghalalkan penggunaan ganja bukan untuk rekreasi sejak 9 Jun lalu.
Daripada 71 orang yang disaring itu 12 individu positif ganja, menurut laporan Utusan.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata dalam Op Tapis Sempadan di pos kawalan di dua pintu masuk itu pada 23 hingga 23 Julai lalu, polis melakukan 96 pemeriksaan dengan 71 daripadanya menjalani saringan ujian air kencing dan 12 individu didapati positif dadah.
Katanya, sepanjang tahun ini pula, sebanyak 1,612 ditahan membabitkan 1,561 warga tempatan dan 51 warga asing.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana rakyat Malaysia dengan sengaja cuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk berkaitan ganja yang menyebabkan khayal akan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Individu yang membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh memiliki dadah atau mengedar dadah jika dalam kuantiti yang besar,” katanya.
Memetik tinjauan akhbar itu pula ramai pelancong Malaysia berpusu-pusu ke Thailand, khususnya bandar utama berhampiran sempadan Malaysia – Thailand, Hatyai, sempena musim cuti sekolah ketika ini.
Malah sejak Sabtu lalu, pintu sempadan di Padang Besar sesak dengan orang ramai yang ingin berkunjung ke negara jiran itu.
Mengulas lanjut, Surina dipetik sebagai berkata kandungan ‘Delta- 9-tetrahydrocannabinol’ atau THC iaitu kandungan dadah dalam ganja boleh berada dalam badan seseorang individu itu lebih seminggu atau beberapa hari dan ia bergantung kepada badan mereka.
“Oleh itu, nasihat saya jangan ambil dadah atau produk dadah semasa berada di luar negara. Berhati-hati dengan sampel makanan di negara yang kita lawati, kemungkinan ia adalah produk daripada ganja atau dadah jenis lain,” katanya.
Seterusnya Surina berkata, pelancong tempatan yang melawat negara luar yang memberi kebebasan pengambilan dadah perlu bertanggungjawab mengenainya.
Katanya, adalah sukar untuk mengambil ujian saringan kepada semua pelawat negara-negara terbabit kerana akan wujud implikasi undang-undang melibatkan tangkapan ke atas orang ramai yang memasuki sempadan ekoran melawat negara yang ‘menghalalkan dadah’.
Menurutnya pihak berkuasa perlu mempunyai keraguan yang munasabah untuk menangkap dan meminta suspek melakukan ujian saringan air kencing.
“Mengambil urin secara rambang atas dasar keraguan bahawa seseorang itu baharu sahaja melawat negara yang menghalalkan dadah adalah tidak munasabah dan kemungkinan besar tindakan sivil akan diambil ke atas pihak berkuasa atas alasan salah guna kuasa.
“Namun semua pelancong yang baharu pulang perlu ingat bahawa dadah diambil boleh berada dalam badan untuk sesuatu tempoh dan jika ditangkap contohnya di pusat hiburan selepas beberapa hari pulang dari negara berkaitan, mereka masih boleh dianggap memasukkan dadah ke dalam diri sendiri sekiranya ujian saringan positif,” katanya.
Dalam pada itu, Surina memberitahu, pihaknya bukan hanya menjalankan atau mempergiatkan pemeriksaan selepas Thailand menghalalkan ganja, sebaliknya penguatkuasaan dilakukan berterusan.
Katanya, perlu diingat kedudukan geografi Malaysia masih berdekatan dengan pusat pengeluaran dadah Asia Tenggara iaitu di segi tiga emas.
“Kita sentiasa berjaga-jaga dalam semua segi bukan sahaja pemeriksaan malah pengumpulan risikan dan kerjasama antarabangsa negara jiran. Pemeriksaan di sempadan negeri bukan bersifat ‘ad hoc’ atau sementara ia adalah penugasan strategik jangka masa panjang,” katanya.
Akhbar itu juga memetik pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun sebagai berkata, pihaknya sentiasa memperketat kawasan sempadan dan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas warga tempatan yang pulang dari Thailand sejurus selepas negara jiran membenarkan penggunaan ganja.
Bagaimanapun katanya, ujian saringan air kencing itu sudah lama dilakukan sebelum Thailand membenarkan penggunaan ganja.
“Selepas Julai kita perketatkan lagi dan ujian itu dilakukan di semua pintu masuk ke Malaysia. Kita buat secara rambang,” katanya.