
Beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu telah banjir malam ini (9 Oktober 2022). - Gambar FB
Hujan lebat sejak jam 2 petang tadi di sekitar daerah Kota Kinabalu dan Penampang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 lokasi dilanda banjir.
Antara lokasi dilaporkan banjir adalah Tebobon, Telipok, Indah Permai, Manggatal, Likas, Rugading, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Rampayan dan Kolombong.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan sebahagian besar negeri di Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak, dijangka hujan berterusan dan ribut petir bermula semalam sehingga esok (10 Oktober 2022).
Mengikut ramalan hari ini, cuaca sebelah pagi diramal hujan di kawasan pantai Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka, selain cuaca sama diramal berlaku di beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah.
Sebelah petang Ahad pula, ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Kedah, Perak, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
MetMalaysia meramalkan ribut petir melanda beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan, pada sebelah malam, selain satu dua tempat di pedalaman Perlis dan Kedah, manakala di sesetengah kawasan di Sarawak serta Sabah dilanda hujan.
Untuk esok, sebelah pagi diramal hujan di sebahagian besar negeri seluruh negara membabitkan satu dua tempat di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak, manakala satu dua tempat di pedalaman Sabah dilanda ribut petir.
Pada sebelah petang pula, ribut petir kembali di beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Ribut petir dijangka berlarutan sehingga malam membabitkan beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala satu dua tempat di pedalaman Kedah, selain Tawau dan Kudat di Sabah dilanda hujan.
Sementara itu memetik BH, bagi daerah Penampang pula, banjir kilat membabitkan lokasi bulatan Sigah, Kampung Kibabaig, Kampung Kolopis, Kinarut, Pavillion dan beberapa lagi kawasan sekitar.
Difahamkan, selain hujan lebat, keadaan air laut pasang dan kegagalan sistem saliran serta perparitan turut menyumbang kepada kejadian banjir di beberapa lokasi.
Sembilan individu membabitkan dua keluarga di Kampung Mansiang, Manggatal, di Kota Kinabalu, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 3 petang tadi.
Semua sembilan mangsa dilaporkan terperangkap di rumah masing-masing sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.
Difahamkan, semua mangsa berjaya dibantu pasukan bomba untuk keluar ke tempat selamat
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihak bomba akan terus menjalankan pemantauan terutama di lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.
Katanya, hasil pemantauan petang tadi, beberapa kawasan di sekitar beberapa lokasi seperti Manggatal dan Penampang sudah dinaiki air yang menyebabkan beberapa jalan turut terjejas.
“Buat masa ini, selari dengan amaran waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), JBPM akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
“Selain itu, JBPM juga turut menumpukan kawasan banjir di daerah luar termasuk Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan dan Keningau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Farhan berkata, daerah Penampang turut menjadi tumpuan jika air dari kawasan hulu sungai di Tambunan meningkat ke paras bahaya.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati serta tidak mengambil tindakan terburu-buru.
“Penduduk yang berada di kawasan kerap dilanda banjir juga dinasihatkan lebih peka dengan kenaikan paras air.
“Sekiranya berlaku kenaikan air secara mendadak, hubungi pasukan bomba dan bersedia untuk berpindah ke tempat lebih tinggi atau selamat terlebih dulu sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.