2.1 peratus kes Covid-19 hari ini kategori 3, 4 dan 5

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 66 kes atau 2.1 peratus daripada 3,160 jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini membabitkan pesakit kategori 3, 4 dan 5.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 3,094 atau 97.9 peratus lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Kategori 1 adalah pesakit tidak bergejala; bergejala ringan (kategori 2); bergejala dan mengalami radang paru-paru (kategori 3); bergejala dan mengalami radang paru-paru serta memerlukan bantuan oksigen (kategori empat); dan bergejala kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan dan perlu dirawat di ICU (kategori 5).

Menurutnya dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,421 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,661,495 atau 97.2 peratus daripada 2,738,401 kumulatif kes positif.

“Daripada jumlah kes harian hari ini, 156 adalah kes import yang turut membabitkan enam bukan warga Malaysia dan 150 warganegara, manakala 3,004 kes lagi adalah penularan tempatan, termasuk melibatkan 127 rakyat asing,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata seramai 324 pesakit Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 175 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga sebanyak tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan, menjadikan keseluruhannya 6,101 kluster dengan 5,878 telah ditamatkan dan 223 lagi masih aktif.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 3,160 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, turun berbanding 3,528 kes yang dicatat semalam.

Menerusi statistik yang dikongsi beliau, lima negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian dalam tempoh itu.

Jangkitan baharu di Johor meningkat kepada 416 kes berbanding 396 kes semalam, menjadikan kumulatif keseluruhan di negeri itu meningkat kepada 242,696 kes, dengan sehingga semalam seramai 232,428 pesakit sembuh dan 3,843 kematian.

Empat lagi negeri yang mencatat peningkatan kes hari ini ialah Kelantan sebanyak 391 kes berbanding 370 semalam; diikuti Putrajaya (29 kes baharu, 23 semalam); Sarawak (27 kes baharu, 19 semalam); dan Perlis (26 kes baharu, 20 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR