1MDB peroleh lanjutan masa serah writ saman AS$8 bilion kepada 15 defendan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melanjutkan tempoh penyerahan writ saman AS$8 bilion oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan empat anak syarikatnya kepada 15 defendan, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad ketika pengurusan kes hari ini.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai dari Tetuan Skrine & Co yang mewakili 1MDB selaku plaintif memberitahu mahkamah telah memberikan lanjutan masa untuk penyerahan tuntutan saman itu.

“”Ia (writ saman) tidak diserahkan lebih awal kerana pelaksanaan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), dan tempoh masa dilanjutkan susulan arahan Ketua Hakim. Pengurusan kes telah ditetapkan pada 16 Ogos 2021,” katanya memetik laporan theedgemarkets, hari ini.

Pada 7 Mei lalu, 1MDB dan subsidarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Najib dan bekas Pengarah 1MDB, antaranya Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan SRC memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas semua tujuh tuduhan berhubung dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

BERITA BERKAIT
POPULAR