1MDB diurus seperti kedai kopi, kata Sri Ram dalam kes Najib

Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pengurusan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan tidak ubah seperti operasi sebuah kedai kopi di Jalan Petaling.

Perumpamaan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika membantah soalan balas pihak pembelaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Memetik laporan FMT, Hazem dipanggil menjadi saksi kes itu sejak 14 September 2020 dalam perbicaraan kes rasuah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Terdahulu peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammad ketika pemeriksaan balas bertanya kepada Hazem mengenai pinjaman yang diambil oleh 1MDB berjumlah AS$975 juta pada 2014 selain menambah bahawa wang terbabit tidak digunakan bagi tujuan sebenar membeli semula 49 peratus saham dalam Aabar Investment.

Wan Aizuddin menyoal Hazem sama ada pasukan pengurusan telah mengelirukan pengarah syarikat dan beliau menjawab tidak pasti.

Sri Ram kemudiannya berkata, “saksi itu (Hazem) bukannya sedang dibicarakan”.

Wan Aizuddin memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan mahu menunjukkan kepada mahkamah bahawa terdapat salah urus dalam 1MDB yang berpunca daripada Hazem, bekas Ketua Pegawai Kewangan syarikat, Azmi Tahir dan bekas eksekutif Geh Choh Heng.

“Kami setuju…bahawa hal ehwal 1MDB dikendalikan lebih seperti kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

“Kami katakan yang mereka ini (antaranya sejumlah pegawai 1MDB) bertindak atas arahan Jho Low, yang merupakan alter ego dan cerminan kepada tertuduh (Najib), dan kedua-duanya bertindak secara bersama.

“Kami setuju untuk bertoleransi dengan soalan-soalan ini dan ia sama sekali tidak relevan dengan hujah kami,” kata Sri Ram.

Selain itu, Sri Ram berkata, Low adalah “cerminan imej” Najib dan mereka akan menunjukkan kepada mahkamah bahawa kedua-duanya bertindak sekali.

Bagaimanapun Wan Aizuddin berhujah bahawa salah urus dalam 1MDB adalah “angkara Low” dan Najib tidak pernah terlibat.

“Kita juga menghadapi kesukaran dengan saksi ini kerana kadang kala beliau tidak ingat,” katanya.

Sequerah berkata, kes 1MDB itu berlaku hampir 10 tahun lalu dan beliau memberitahu tertuduh untuk teruskan dengan isu laim sekiranya Hazem mengatakan beliau tidak ingat.

Bekas Presiden UMNO itu didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, dan empat kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib ditahan SPRM pada jam 4.13 petang 19 September 2018 berkaitan kes 1MDB yang melibatkan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Pada Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR