
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 pelajar bergejala demam, batuk, selesema dan sakit tekak pada 21 Jun 2022.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengarahkan asrama Sekolah Menengah Agama Bestari (SAMBEST) di Subang Jaya ditutup bermula semalam susulan penularan Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan 191 pelajar.
Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling mengarahkan penutupan sementara itu bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.
Menurutnya kluster itu mula dikesan di sekolah berkenaan pada 21 Jun lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 pelajar bergejala demam, batuk, selesema dan sakit tekak.
“Kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun. Sehingga 23 Jun jumlah keseluruhan kes yang mempunyai gejala jangkitan adalah seramai 191 pelajar dengan kadar serangan jangkitan 32.5 peratus.
“Daripada jumlah itu, lima pelajar telah disahkan positif Influenza A, manakala 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.
“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian Covid-19 ke atas 30 pelajar bergejala mendapati semuanya negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Sha’ari berkata hasil perbincangan yang dijalankan, PKD Petaling memaklumkan asrama berkenaan akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan.
Selain itu, katanya beberapa langkah kawalan dan pencegahan telah diambil oleh PKD Petaling, termasuk memantau kes yang menjalani pengasingan dan merujuknya ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Pemantauan yang dijalankan JKN terhadap jangkitan ILI di Selangor mendapati situasi masih terkawal, namun penularan jangkitan di institusi pendidikan, terutama sekolah berasrama, menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan.
“Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kes ialah kurangnya penekanan kepada aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah, pertambahan aktiviti secara berkumpulan, sentuhan fizikal dan kurang amalan kebersihan kendiri,” katanya.