19,000 warga OKU sudah terima dos pertama, kata Rina

Putrajaya tidak meminggirkan kumpulan Orang Kurang upaya (OKU) dalam pemberian vaksinasi dan setakat ini seramai 19,000 individu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 hasil program dilaksanakan.

Beliau berkata hampir 280,000 individu OKU pula telah berdaftar untuk mendapatkan vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ini menunjukkan peningkatan dan angka ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Kita akan terus mengutamakan warga OKU untuk mendapatkan vaksinasi agar negara mencapai imuniti kelompok 80 peratus,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu Rina meninjau pusat pemberian vaksin bergerak untuk OKU di Rumah Amal Cheshire Selangor, di sini hari ini.

Rina turut menjelaskan pemvaksinan ke atas OKU yang dijalankan di seluruh negara bukan hanya melibatkan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi turut melibatkan rumah jagaan swasta dan yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan.

Mengenai program vaksinasi di Rumah Amal Cheshire, Rina berkata seramai 25 OKU dan 44 kakitangan di pusat jagaan itu telah mendapat suntikan dos pertama hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR