19 lagi kematian, 53,482 kes aktif

Sembilan belas lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 31,092 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Kes itu termasuk 6,286 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Dalam tempoh itu, empat pesakit meninggal dunia di Johor, menjadikan keseluruhan kematian di negeri itu sebanyak 3,825 kes, termasuk 483 BID.

Johor juga mencatat 240,286 kumulatif kes positif, dengan 230,095 pesakit telah sembuh, dan kini terdapat 6,366 kes yang masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 5,484 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 372 ditempatkan di PKRC; 486 dimasukkan ke hospital; dan 24 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menerusi laman sesawang Covidnow, KKM melaporkan negeri itu juga merekodkan 37 kluster aktif daripada 1,141 kluster yang dikesan sejak Covid-19 menular awal tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 25 kluster melibatkan tempat kerja; komuniti (enam ); pendidikan (tiga ); keagamaan (dua); dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Sementara itu, 80.2 peratus atau 3,032,626 daripada populasi keseluruhan di Johor telah lengkap divaksin, manakala 81.2 peratus atau 3,070,394 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 362,518 individu pula menerima suntikan dos penggalak.

Johor juga mencapai 99.8 peratus atau 2,706,374 daripada populasi dewasanya yang telah lengkap divaksinasi, dan 100.8 peratus atau 2,733,292 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Manakala, 90.7 peratus atau 326,252 remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga telah lengkap divaksinasi, sementara 93.7 peratus atau 337,102 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi negeri-negeri lain, Sabah dan Terengganu masing-masing mencatat tiga kematian; diikuti masing-masing dua di Kedah, Pahang, Perak, serta Selangor; dan satu kes di Kelantan.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Keseluruhannya negara mencatat 2,718,955 kumulatif kes positif, termasuk 6,327 kes import, dengan 2,634,381 pesakit dilaporkan sembuh, serta 53,482 kes lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 45,147 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,013 ditempatkan di PKRC; 3,932 dimasukkan ke hospital; dan 390 dirawat di ICU, dengan 211 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR