19 kematian, 32,773 kes masih aktif

Sembilan belas lagi pesakit Covid-19 di 10 negeri meninggal dunia, termasuk empat kes ’brought in death’ (BID), dalam tempoh 24 jam semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Angka itu menjadikan keseluruhan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 31,628 kes, termasuk 6,382 kes BID.

Menurut laman sesawang Covidnow kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, Selangor mencatat empat kes kematian, tertinggi berbanding negeri-negeri lain, menjadikan kumulatif sebanyak 9,985 kes.

Sebanyak 7,871 kes itu melibatkan pesakit meninggal dunia di hospital, manakala 2,114 lagi adalah kes BID.

Data seminggu lepas menunjukkan 36.4 peratus daripada kes kematian di Selangor membabitkan individu berusia 70 hingga 79 tahun, diikuti 24.2 peratus (60-69 tahun); 12.1 peratus (40-49 tahun); 9.1 peratus (18-29 tahun); 9.1 peratus (80 tahun ke atas); 6.1 peratus (30-39 tahun); dan 3.0 peratus (50-59 tahun).

Sehingga semalam, Selangor masih mencatat 10,180 kes aktif, termasuk 9,150 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 179 ditempatkan di PKRC; 803 dimasukkan ke hospital; dan 48 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 22 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, lebih 11.22 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh Selangor, dengan 94.3 peratus atau 4,771,547 populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, dan 95.5 peratus atau 4,842,099 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 1,624,154 individu yang layak di negeri itu telah menerima suntikan dos penggalak masing-masing.

Bagi negeri-negeri lain pula, Johor mencatat tiga kes kematian, diikuti masing-masing dua di Pahang, Sabah, serta Terengganu; dan masing-masing satu kes di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, serta Pulau Pinang.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kedah, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,776,699 kumulatif kes positif, dengan 2,705,292 pesakit telah sembuh, manakala 39,779 kes dan 190 kluster lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 32,773 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,259 ditempatkan di PKRC; 3,494 dimasukkan ke hospital; dan 253 pesakit dirawat di ICU, dengan 130 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR