189 daripada 27,500 kes baharu libatkan kategori 3, 4 dan 5

Sebanyak 189 atau 0.69 peratus daripada 27,500 kes harian Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam melibatkan kategori 3, 4 dan 5, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kategori 3 adalah pesakit Covid yang mengalami radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen; kategori 4 mempunyai radang paru-paru dan memerlukan oksigen; manakala kategori 5 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 27,311 kes lagi adalah kategori 1 dan dua iaitu pesakit yang positif tetapi tidak bergejala dan kategori 2 adalah pesakit positif dengan gejala ringan.

Secara umumnya kategori 1 melibatkan seramai 9,292 kes atau 33.79 peratus; kategori 2, 18,019 kes (65.52 peratus); kategori 3, 71 kes (0.26 peratus); kategori 4, 38 kes (0.14 peratus); dan kategori 5, 80 kes (0.29 peratus).

Daripada 189 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 2 Mac 2022, 53 kes atau 28.04 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 86 kes (45.50 peratus) telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak; dan 50 kes (26.46 peratus) telah menerima dos penggalak.

Seramai 108 kes atau 57.14 peratus daripada pesakit kategori 3, 4 dan 5 itu berumur 60 tahun dan ke atas, dan 48 kes atau 25.40 peratus mempunyai komorbid, kata Dr Noor Hisham.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 428 kes import positif Covid-19 dikesan semalam yang melibatkan 389 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Mengenai penggunaan kapasiti katil Covid-19 di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Dr Noor Hisham berkata sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

Negeri berkenaan ialah Putrajaya sebanyak 67 peratus; Perlis (64 peratus); Kelantan (60 peratus); Johor (59 peratus); Kuala Lumpur (58 peratus; Sabah (55 peratus); Melaka (53 peratus); Selangor (51 peratus); dan Pulau Pinang (50 peratus).

Bagi katil bukan ICU pula 11 negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus membabitkan:

Selangor (113%);
WP Kuala Lumpur (106%);
Perak (102%);
Kelantan (93%);
Perlis (91%);
Pahang (70%);
WP Putrajaya (67%);
Johor (66%);
Sarawak (64%);
Pulau Pinang (61%); dan
Sabah (53%).

BERITA BERKAIT
POPULAR