1,887 kes baharu di Lembah Klang

Lembah Klang kembali menjadi penyumbang tertinggi jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan mencatat 1,887 kes berbanding 1,246 kes dalam tempoh sama semalam.

Selangor kembali merekodkan jumlah jangkitan harian melebihi 1,000 kes apabila merekodkan 1,397, meningkat 429 kes berbanding 968 semalam, menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 742,642, dengan 714,718 pesakit telah sembuh.

Kuala Lumpur pula merekodkan 419 kes hari ini berbanding 208 semalam, menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 198,263 dengan 193,019 pesakit telah sembuh.

Sementara Putrajaya pula mencatat 71 kes berbanding 70 semalam, menjadikan keseluruhannya 8,111 kes positif, dengan 7,248 pesakit telah sembuh.

Sejak awal tahun lalu sehingga hari ini, Lembah Klang merekodkan 949,016 kes positif dengan 914,985 pesakit telah sembuh, dan 12,354 kes kematian.

Lembah Klang turut mencatat 23,636 kes aktif dengan 20,884 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,219 ditempatkan di PKRC; 1,408 dimasukkan ke hospital; dan 125 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 70 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu tujuh negeri lagi turut merekodkan peningkatan jangkitan baharu hari ini iaitu Johor, Sabah, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perlis.

Johor merekodkan 569 kes baharu hari ini berbanding 374 semalam; diikuti Sabah (526 kes baharu, 485 semalam); Pulau Pinang (262 kes baharu, 246 semalam); Sarawak (239 kes baharu, 147 semalam); Terengganu (207 kes baharu, 202 semalam); Negeri Sembilan (139 kes baharu, 132 semalam); dan Perlis (31 kes baharu, 13 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 10 kluster baharu dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Jumlah itu menjadikan, sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini awal tahun lalu hingga hari ini, sebanyak 5,898 kluster dikesan dengan 5,667 telah ditamatkan dan 231 lagi masih aktif.

Pada masa sama beliau berkata, seramai 4,908 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif keseluruhan sebanyak 2,498,345 pesakit pulih, daripada jumlah kumulatif positif 2,597,080 kes.

Daripada 5,594 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 85 kes atau 1.5 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 5,509 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2, katanya.

Seramai 532 pesakit berkaitan Covid-19 kini dirawat di ICU dengan 266 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR