185 positif varian Delta, 95 kes Omicron dikesan sejak 3 Februari

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 280 kes baharu Variant of Concern (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Februari 2022 hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata VOC yang dilaporkan itu terdiri daripada 185 kes varian Delta dan 95 kes varian Omicron.

“Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi MARA (iPromise, UiTM) telah mengenal pasti 188 kes baharu; UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) mengenal pasti 46 kes baharu, manakala Institute for Medical Research (IMR) telah (46 kes baharu).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 7,398 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,378 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak:

  • 6,435 kes varian Delta;
  • 696 kes varian Omicron;
  • 233 kes varian Beta; dan
  • 14 kes varian Alpha.

Bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak:

  • 13 kes varian Theta;
  • Empat (4) kes varian Kappa; dan
  • Tiga (3) kes varian Eta.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 5,681 pesakit Covid-19 telah sembuh hari ini, menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,829,752 atau 95.7 peratus daripada 2,956,332 kes kumulatif positif.

Menurutnya sebanyak 130 kes import yang melibatkan 73 warganegara dan 57 rakyat asing turut dikesan hari ini, manakala 17,004 lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 403 bukan warganegara.

Sehingga kini, katanya seramai 143 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 78 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak 15 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,541 kluster dengan 6,156 telah ditamatkan dan 385 lagi masih aktif.

“Daripada 17,134 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 86 kes atau 0.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 17,048 kes (99.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR