18 termasuk 14 pemancing hilang, bot karam dipukul ribut di Langkawi

Seramai 18 individu, termasuk empat kru dan 14 pemancing dilapor hilang apabila bot yang dinaiki dipercayai karam pada kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi sekitar jam dua petang tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat setelah menerima maklumat.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bot terbabit dilaporkan membawa sekumpulan pemancing yang dikatakan berasal dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum dipukul ribut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Aset Maritim Malaysia KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 diatur gerak bagi operasi SAR sebaik menerima laporan kecemasan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

“Maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi penyelamat lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Mohd Zawawi berkata, sektor operasi diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika, di Barat Daya dari posisi akhir bot terbabit dilaporkan hilang.

“Sehingga kini operasi SAR dibantu pelbagai agensi penyelamat masih diteruskan dijangka sehingga pagi esok bagi mengesan bot terbabit,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR