18 kematian semalam kedua terendah sejak tujuh bulan

Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia semalam adalah yang kedua terendah sejak tujuh bulan lalu dan bulan ini, apabila mencatat 18 kes, berbanding 17 kes pada 3 Disember lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 31,044, termasuk 6,275 pesakit meningga dunia sebelum diberi rawatan di hospital (BID).

Statistik di dalam laman sesawang Covidnow yang dikemas kini hari ini juga menunjukkan hanya satu sahaja kes BID dilaporkan semalam.

Sembilan negeri tidak melaporkan kes kematian semalam, membabitkan Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Daripada kes kematian yang direkodkan semalam, Perak mencatat jumlah tertinggi sebanyak tujuh kes, menjadikan kumulatif di negeri itu sejak awal tahun lalu naik kepada 1,327 kes, termasuk 173 kes BID.

Setakat ini, negeri itu merekodkan kumulatif positif sebanyak 126,830 kes, dengan 123,192 pesakit telah pulih, serta 2,131 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,605 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 119 ditempatkan di PKRC; 357 dimasukkan ke hospital; dan 50 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 33 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut mencatat 12 kluster yang masih aktif, membabitkan masing-masing empat kluster tempat kerja dan pendidikan, dan masing-masing dua kluster kumpulan berisiko tinggi serta komuniti.

Bagi jumlah kematian di negeri-negeri lain semalam, Selangor mencatat tiga kes; diikuti masing-masing dua kes di Kelantan, Negeri Sembilan, dan Sabah; serta masing-masing satu kes di Johor dan Perlis.

Sepuluh negeri kekal merekodkan jumlah kematian melebihi 1,000 dengan Selangor mencatat 9,878 kes; diikuti Johor (3,820); Sabah (2,754); Kuala Lumpur (2,645); Kedah (2,129); Pulau Pinang (1,700); Sarawak (1,613); Perak (1,327); Negeri Sembilan (1,303); dan Kelantan (1,217).

Sehingga semalam negara mencatat 2,711,764 kumulatif kes positif, termasuk 6,256 kes import. Daripada jumlah itu, seramai 2,625,245 pesakit telah sembuh, sementara 55,475 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 46,457 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,566 ditempatkan di PKRC; 4,052 dimasukkan ke hospital; dan 400 pesakit dirawat di ICU, dengan 198 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR