18 kematian dilaporkan semalam, 39,739 kes Covid-19 masih aktif

Lapan belas kematian akibat komplikasi Covid-19, termasuk tiga kes meninggal dunia yang dikategorikan sebagai ’brought in death’ (BID), direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi laman sesawangnya, Covidnow, KKM memaklumkan kumulatif kematian akibat wabak yang mula melanda negara pada Februari 2020 lalu mencecah 31,609 kes, termasuk 6,378 kes BID.

Tiga negeri – Pahang, Perak dan Selangor – masing-masing berkongsi tiga kes kematian semalam; masing-masing dua kes di Kedah, Melaka, serta Kuala Lumpur; dan masing-masing satu di Kelantan, Sabah, dan Terengganu.

Tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan – Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Labuan, dan Putrajaya – tidak merekodkan kematian akibat Covid-19 semalam.

Keseluruhannya sehingga semalam 10 negeri mencatat kes kematian melebihi 1,000, dengan didahului Selangor sebanyak 9,981 kes, diikuti Johor (3,869 kes); Sabah (2,791 kes); Kuala Lumpur (2,683 kes); Kedah (2,167 kes); Pulau Pinang (1,753 kes); Sarawak (1,617 kes); Perak (1,409 kes); Negeri Sembilan (1,322 kes); dan Kelantan (1,254 kes).

Dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak 32.2 peratus kematian akibat Covid-19 membabitkan pesakit berusia 70 hingga 79 tahun, diikuti 22.2 peratus (60-69 tahun); 21.7 peratus (80 tahun ke atas); 9.4 peratus (50-59 tahun); 8.9 peratus (40-49 tahun); 2.8 peratus (30-39 tahun); dan 2.8 peratus (18-29 tahun).

Menurut statistik Covidnow, lima negeri kekal merekodkan jumlah kumulatif kes positif melebihi 200,000 iaitu Selangor sebanyak 790,245 kes, diikuti Sarawak (252,424 kes); Johor (246,730); Sabah (241,660); dan Kuala Lumpur (211,794 kes).

Lima negeri merekodkan kumulatif kes positif melebihi 100,000 ialah Kelantan sebanyak 170,664 kes diikuti Kedah (169,530); Pulau Pinang (162,088); Perak (129,687); dan Negeri Sembilan (114,119 kes).

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,773,156 kumulatif kes positif, termasuk 9,864 kes import, dengan 2,701,808 pesakit sembuh, dan 39,739 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 32,509 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,574 ditempatkan di PKRC; 3,399 dimasukkan ke hospital; dan 257 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 137 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR