18 kematian BID semalam

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak 17 Mac 2020 meningkat kepada 34,664 kes setelah 64 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, 24 Mac 2022.

Jumlah kematian semalam termasuk 18 pesakit yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID) menjadikan kumulatif kes itu sebanyak 7,302 kes.

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada kes BID berkenaan turut melibatkan 239,934 individu yang positif Covid-19 tetapi diarah menjalani kuarantin di rumah.

Selain daripada kes BID itu, kematian semalam turut melibatkan 26 pesakit lengkap divaksin; 18 penerima dos penggalak, 17 tidak divaksin dan tiga belum lengkap vaksinasi.

Berdasarkan statistik laman sesawang CovidNOW, untuk tempoh seminggu lalu, 35.2 peratus kematian melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas; 26.3 peratus (70-79 tahun); 18.0 peratus (60-69 tahun); 10.9 peratus (50-59 tahun); 6.1 peratus (40-49 tahun);

Sebanyak 1.7 peratus kematian melibatkan pesakit berusia 30 hingga 39 tahun; masing-masing 0.5 peratus bagi usia 0-4 tahun dan 18-29 tahun; dan masing-masing 0.4 peratus (5-11 tahun, dan 12-17 tahun).

Sementara itu, Johor mencatat jumlah kematian tertinggi berbanding negeri-negeri lain apabila merekodkan 11 kematian semalam, termasuk tiga kes BID, menjadikan kumulatif 4,383 kes.

Kes kematian di Johor itu turut melibatkan empat pesakit yang menerima vaksin lengkap, tiga penerima dos penggalak, tiga pesakit tidak divaksinasi, dan satu kes belum lengkap vaksinasi.

Sehingga semalam, Johor mencatat kumulatif positif sebanyak 366,405 kes, dengan 349,612 pesakit telah sembuh, dan 12,410 kes masih aktif dengan 11,613 menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 72 pesakit ditempatkan di PKRC; 694 dimasukkan ke hospital; dan 31 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 22 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari 2021 hingga semalam juga seramai 3,065,051 atau 80.8 peratus populasi di Johor lengkap divaksinasi, 3,276,136 atau 86.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 2,056,305 atau 75.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Perak mencatat sembilan kematian, diikuti masing-masing lapan kes di Kedah serta Selangor; Melaka (lima); dan masing-masing empat di Negeri Sembilan, Pahang serta Sarawak.

Terengganu merekodkan tiga kes kematian; masing-masing dua di Kelantan, Pulau Pinang serta Sabah, dan masing-masing satu di Perlis serta Kuala Lumpur.

Tiada kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Labuan dan Putrajaya semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 24 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR