18 kematian, 31,696 angka terkumpul

Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak wabak itu menular di negara ini awal 2020, meningkat kepada 31,696 kes, setelah 18 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi memaklumkan, dua pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital dan dikategorikan sebagai kes ‘brought in death’ (BID).

Sehingga kini sebanyak 6,392 kes BID dilaporkan di seluruh negara.

Daripada kes kematian semalam, Johor merekodkan empat pesakit meninggal dunia, menjadikan kumulatif di negeri itu meningkat kepada 3,881 kes.

Sehingga semalam, Johor merekodkan 248,419 kes positif, dengan 238,491 pesakit telah sembuh, serta 6,047 kes dan 27 kluster lagi masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 5,130 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 419 ditempatkan di PKRC; 481 dimasukkan ke hospital; dan 17 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara daripada 27 kluster aktif itu pula, 14 adalah berkaitan tempat kerja; komuniti (empat); masing-masing tiga kluster import dan kumpulan berisiko tinggi; dan masing-masing satu kluster pendidikan, pusat tahanan serta keagamaan.

Sehingga semalam sebanyak 80.5 peratus populasi di Johor atau 3,044,462 individu telah lengkap divaksinasi, 81.4 peratus atau 3,078,712 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 777,271 individu lagi menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Kedah merekodkan tiga kematian diikuti masing-masing dua kes di Pahang, Selangor, Terengganu serta Kuala Lumpur; dan masing-masing satu kes di Kelantan, Melaka, dan Perak.

Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sejak awal 2020 lalu, 10 negeri kekal mencatat angka kematian melebihi 1,000 kes, dengan Selangor menjadi tiga negeri tertinggi apabila merekodkan sebanyak 9,996 kes diikuti Johor dengan 3,881 kes dan Sabah (2,798 kes).

Berdasarkan statistik Covidnow, 27.2 peratus daripada kematian akibat Covid-19 di negara ini dalam tempoh seminggu lalu melibatkan pesakit berumur 70 hingga 79 tahun, diikuti 25.9 peratus (80 tahun ke atas); 22.2 peratus (60 – 69 tahun); 9.3 peratus (50 – 59 tahun); 8.6 peratus (40 – 49 tahun); 4.3 peratus (30 – 39 tahun); 1.2 peratus (18 – 29 tahun); dan masing-masing 0.6 peratus bagi pesakit berusia 0 hingga 6 tahun dan 12 ke 17 tahun.

Sehingga semalam, negara mencatat 2,788,860 kumulatif kes positif, termasuk 11,507 kes import, dengan 2,717,422 pesakit telah sembuh dan 39,742 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 32,517 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,583 ditempatkan di PKRC; 3,389 dimasukkan ke hospital; dan 253 pesakit dirawat di ICU dengan 106 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Lima negeri kekal merekodkan kumulatif kes positif melebihi 100,000 dengan Selangor mencatat 794,350 kes, diikuti Sarawak (252,505 kes); Johor (248,419); Sabah (242,705); dan Kuala Lumpur (213,129 kes).

Jumlah kes berkaitan Covid-19 di negara-negara ASEAN sehingga 10 Januari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR