177,900 jawatan kosong bukti prestasi ekonomi kita kukuh

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Jumlah jawatan kosong yang bertambah kepada 177,900 pada suku pertama tahun ini menunjukkan prestasi ekonomi negara yang semakin baik, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya, sektor ekonomi negara mencatatkan 177,900 kekosongan jawatan meningkat 7.2 peratus berbanding suku sama tahun lalu dengan 166,000 kekosongan.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini masih belum mencapai paras normal seperti sebelum krisis yang secara purata merekodkan 200,000 kekosongan jawatan.

“Kadar kekosongan jawatan pada suku tahun ini meningkat 0.2 peratus, berbanding 1.9 peratus pada suku sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan ketika membentangkan laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Pertama 2021, hari ini.

Statistik guna tenaga merupakan maklumat penting yang digunakan oleh kerajaan untuk tujuan menganalisis situasi pasaran buruh, menggubal dasar serta merancang, melaksana dan memantau program berkaitan pembangunan modal insan.

Statistik ini juga dapat digunakan oleh ahli akademik, ahli ekonomi, penyelidik dan para pengguna lain dalam kajian berkaitan pasaran buruh.

Katanya, laporan itu membentangkan statistik guna tenaga pada suku tahun pertama 2021 dari perspektif permintaan buruh di Malaysia bagi keseluruhan sektor ekonomi.

“Statistik yang dibentangkan diperoleh daripada data Survei Guna Tenaga Suku Tahunan. Survei ini dilaksanakan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta menggunakan pensampelan berkebarangkalian,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata lebih separuh daripada kekosongan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir dengan 55.5 peratus atau 98,700 kekosongan, diikuti mahir (23.5 peratus/41,800) dan berkemahiran rendah (21 peratus/37,400).

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021