17 kluster baharu Covid-19 hari ini

Sebanyak 17 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, tatkala varian Omicron semakin menular di seluruh negara dengan jangkitan harian meningkat kepada 13,944 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan 6,526 kluster Covid-19 dikesan sejak awal 2020 hingga hari ini, dengan 6,151 telah ditamatkan dan 375 lagi masih aktif.

Maklumat lanjut berkaitan kluster baharu itu akan dikemas kini dalam laman sesawang Covidnow selepas tengah malam ini.

Pada masa sama beliau berkata, daripada 13,944 kes harian yang dilaporkan hari ini, 73 kes atau 0.5 peratus adalah jangkitan dalam kategori 3, 4, dan 5; dan 13,871 kes (99.5 peratus) lagi pesakit kategori 1 dan 2.

Menurutnya, sehingga kini seramai 138 pesakit dirawat di ICU, dengan 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini sebanyak 5,421 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,824,071 kes atau 96.1 peratus daripada 2,939,198 kumulatif kes positif.

Beliau berkata KKM juga mengesan 153 kes import hari ini yang melibatkan 58 warganegara dan 95 bukan warganegara, manakala 13,791 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 315 rakyat asing.

Terdahulu Dr Noor Hisham memaklumkan vaksinasi dan dos penggalak banyak membantu mengurangkan kes kemasukan ke hospital, ICU dan kematian.

Bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama COVID-19 juga tinggi, katanya dalam kenyataan di Twitter hari ini.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139.

Dr Noor Hisham berkata bagi Minggu Epidemiologi (ME) 5/2022 yang bermula dari 30 Januari 2022 sehingga 5 Februari 2022, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah 43,062 kes, berbanding ME sebelumnya iaitu 31,980 kes dengan peningkatan sebanyak 34.7 peratus.

“Manakala jumlah kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 8.1% dengan purata kes aktif adalah sebanyak 58,099 kes. Selain itu, jumlah kes sembuh Covid-19 yang dilaporkan pada ME 5/2022 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus.

Berikut adalah perincian indikator-indikator jangkitan Covid-19 untuk ME 5/2022;

  • Peningkatan kes baharu sebanyak 34.7 peratus iaitu daripada 31,980 kes (ME 4/2022) kepada 43,062 kes (ME 5/2022);
  • Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 26.0 peratus dengan purata sebanyak 46,158 kes (ME 4/2022) kepada 58,099 kes (ME 5/2022). Angka ini dijangka menaik lagi pada ME 6/2022;
  • Bagaimanapun, kes kematian disebabkan Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 8.1 peratus dengan 68 kematian pada ME 5/2022 berbanding 74 kematian pada ME 4/2022. Penurunan ini dicatatkan semenjak ME 52/2021.
  • Purata kes Covid-19 yang memerlukan rawatan di ICU juga menunjukkan penurunan sebanyak 16.5 peratus iaitu 91 kes (ME 5/2022) berbanding 102 kes (ME 4/2022). Penurunan kes Covid-19 di ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU dicatatkan sejak 12 minggu lalu iaitu daripada ME 45/2021;
  • Selain itu, purata kes Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 10.9 peratus iaitu 41 kes pada ME 5/2022 berbanding 46 kes pada ME 4/2022. Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan sejak 24 minggu yang lalu iaitu daripada ME 33/2021; dan
  • Purata nilai RT meningkat sebanyak 2.7 peratus dengan 1.12 (95 peratus CI 1.11 – 1.13) pada ME 4/2022 kepada 1.15 (95 peratus CI 1.13-1.16) pada ME 5/2022. Nilai Rt dijangka menaik lagi pada ME 6/2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR