17 kematian akibat Covid-19 semalam, 58,852 kes masih aktif

Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam turun hampir separuh berbanding 31 kes pada Sabtu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menurut laman sesawang Covidnow, seramai 17 pesakit meninggal dunia semalam, termasuk tiga yang belum sempat menerima rawatan perubatan di hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kematian sejak awal tahun lalu hingga semalam sebanyak 30,879 kes, termasuk 6,246 kes BID, menurut KKM.

Negeri tertinggi mencatat kematian semalam ialah Terengganu sebanyak empat kes, menjadikan keseluruhan 644 kes, termasuk 71 kes BID. Setakat ini negeri itu mencatat 78,931 kumulatif kes positif, dengan 76,052 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam Terengganu mencatat 2,235 kes aktif dengan 1,545 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 412 ditempatkan di PKRC; 256 dimasukkan ke hospital; dan 22 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 18 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada kluster aktif dilaporkan di negeri itu sehingga semalam.

Sehingga semalam juga, seramai 875,132 atau 69.5 peratus populasi di negeri itu lengkap divaksinasi, 70.7 peratus atau 889,783 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 65,329 individu menerima suntikan dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Kelantan mencatat tiga kes kematian; diikuti masing-masing dua di Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang; dan masing-masing satu di Melaka serta Sabah.

Tiada kes kematian dilaporkan di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan jumlah kes aktif turun sebanyak 1,926 kes menjadi 58,852 kes, berbanding 60,778 pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, seramai 48,337 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,606 ditempatkan di PKRC; 4,502 dimasukkan ke hospital; dan 407 pesakit dirawat di ICU, dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam, negara merekodkan 2,691,639 kumulatif kes positif, termasuk 6,131 kes import, dan 2,601,908 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR