1,665 pesakit Covid masuk hospital, kes warga emas membimbangkan

Seramai 1,665 pesakit Covid-19 yang meliputi kategori 1 hingga 5 dimasukkan ke hospital semalam, (Jumaat, 18 Mac 2022), turun sedikit berbanding 1,669 pesakit pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 986 atau 59.2 peratus adalah pesakit kategori 1 dan 2, manakala 679 pesakit atau 40.8 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

Beliau menjelaskan terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital (Jadual 3) berbanding kes Covid-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

“Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

“Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberikan jumlah jangkitan mengikut kategori iaitu:

  • Kategori 1: 9,801 kes (40.43%);
  • Kategori 2: 14,255 kes (58.81%);
  • Kategori 3: 67 kes (0.28%);
  • Kategori 4: 65 kes (0.27%); dan
  • Kategori 5: 53 kes (0.21%).

Daripada 185 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam:

  • 60 kes (32.43%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 71 kes (38.38%) telah menerima dua (2) dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster);
  • 54 kes (29.19%) telah menerima dos penggalak (booster);
  • 109 kes (58.92%) berumur 60 tahun dan ke atas;
  • 84 kes (45.41%) mempunyai komorbid; dan
  • 1 kes (0.54%) kes adalah kes ibu mengandung.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan warga emas juga semakin meningkat.

Katanya golongan warga emas adalah mereka yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dan komplikasi yang teruk akibat jangkitan tersebut.

“Kadar kemasukan kes ke hospital dan kadar kematian dalam kalangan warga emas juga adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan umur yang lain.

“Kadar kemasukan ke hospital awam bagi kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 adalah paling tinggi dalam kalangan warga emas,” katanya.

Menurutnya sejak Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022, kadar kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas telah meningkat daripada 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi pada ME 10/2022.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dalam kalangan kes Covid-19 yang akan merosot, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau meninggal dunia.

“Justeru, kenaikan kadar kemasukan pesakit Covid-19 dalam kalangan warga emas ke hospital ini amat membimbangkan. Data jelas menunjukkan bahawa warga emas yang tiada vaksinasi atau tiada dos penggalak amat berisiko tinggi meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR