164 pertuduhan ke atas Ketua UMNO Bayan Baru disebut semula

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula 164 pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM20.22 juta membabitkan Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh berkenaan bagi pengurusan kes selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan itu dibicarakan secara bersama.

Sebutan kes hari ini dibuat secara bersama apabila Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican agar jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibatalkan dan mengguna pakai jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, sebelum ini. Pihak pendakwaan tidak membantah dengan permohonan itu.

Pada 12 Julai lepas, Mansor, 58, yang juga Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta.

Sementara pada 15 Julai 2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai 20, tertuduh minta dibicarakan atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.22 juta.

Tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dalam bentuk tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza, pada sekitar 2008 sehingga Ogos tahun lepas.

Semua pertuduhan terhadap Mansor dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA 2001 boleh dihukum denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya manakala Seksyen 4 (1) (b) Akta yang sama membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho.

BERITA BERKAIT
POPULAR