1,625 kanak-kanak 5 hingga 11 tahun terima dos kedua vaksin Covid-19

Seramai 25,808,303 atau 79.0 peratus populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, menerima dos kedua vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari 2021 hingga semalam (1 April 2022), lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini pagi ini menunjukkan seramai 27,517,408 atau 84.2 peratus lagi menerima dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Sejak 1 Oktober tahun lalu hingga semalam, seramai 15,832,244 atau 67.3 peratus daripada individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak, bagi meningkatkan imuniti terhadap jangkitan Covid-19.

Khamis lalu, KKM mengumumkan status vaksinasi penerima vaksin jenis Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun ke atas, yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak, tetapi pernah dijangkiti Covid-19, akan dikecualikan daripada revokasi selama tempoh tiga bulan.

Namun, dua golongan yang tersenarai ini perlu mengambil dos penggalak dengan segera selepas sembuh bagi mengelakkan daripada status lengkap vaksinasi ditukar kepada belum lengkap vaksinasi.

Sementara itu, 22,954,072 atau 97.6 peratus individu dewasa telah menerima dua dos vaksin, manakala 23,229,777 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak September lalu hingga semalam juga, seramai 2,852,606 atau 91.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,948,935 atau 94.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Setakat ini, kerajaan belum melancarkan program dos penggalak bagi golongan remaja berkenaan.

Sementara itu, sejak 3 Februari lalu hingga semalam, seramai 1,625 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos kedua vaksin Covid-19, manakala 1,338,696 atau 37.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Semalam sahaja seramai 8,751 kanak-kanak menerima suntikan dos pertama dan 1,309 dos kedua.

BERITA BERKAIT
POPULAR