16 kluster umrah masih aktif dikesan di lapan negeri, WP

Sebanyak 16 kluster berkaitan umrah, termasuk tujuh yang disahkan sebagai kes indeks varian Omicron Covid-19, dikesan sejak 25 November 2021 hingga 11 Januari 2022, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), sambil menjelaskan ianya melibatkan lapan negeri dan Wilayah Persekutuan (WP).

Daripada 16 kluster tersebut, tujuh kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron, dan enam kluster melibatkan kes indeks disyaki Omicron yang sedang menunggu keputusan penjujukan genom penuh (WGS).

Manakala tiga kluster lagi melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua kluster itu melibatkan Pahang, Kelantan, Kedah, Johor, Sabah, Labuan, Selangor, dan Pulau Pinang.

“Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin, Pahang merupakan kluster dengan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 36 kes. Kes indeks bagi kluster ini adalah disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga.

“Kes-kes dalam kluster ini merupakan ahli keluarga dari negeri Pahang dan Johor dengan kadar positiviti sebanyak 81.8 peratus. Terdapat dua lagi kluster yang melibatkan jemaah umrah dalam daerah yang sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi.

“Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi melibatkan sembilan kes yang terdiri daripada satu kes indeks presumptive Omicron yang merupakan kes jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga. Kadar positiviti adalah sebanyak 75 peratus,” katanya.

Menurutnya Kluster Keratong 2 Saudi pula melibatkan 11 kes di mana dua kes merupakan jangkitan import dan sembilan kes adalah kontak keluarga dengan kadar positiviti kluster sebanyak 78.6 peratus, tetapi kes indeks ini bukan melibatkan varian Omicron.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang bermula 6 Januari 2022 hingga 19 Januari 2022 untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 kepada komuniti.

Kenyataan lengkap situasi terkini kluster Covid-19 melibatkan jemaah umrah boleh dirujuk di sini.

BERITA BERKAIT
POPULAR