16 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini, 194 pesakit di ICU

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kluster Covid-19 di seluruh negara yang aktif hari ini meningkat kepada 444 berbanding 435 yang dilaporkan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan 16 lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 6,629 kluster sejak awal 2020 lalu, dengan 6,185 telah ditamatkan.

Maklumat lanjut berkaitan kluster baharu itu akan dikemas kini dalam laman sesawang KKM, Covidnow, selepas tengah malam ini.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga seramai 7,584 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,868,538 kes atau 93.0 peratus daripada 3,083,683 kumulatif kes positif.

Dalam tempoh sama, 80 kes import dikesan melibatkan 30 warganegara dan 50 bukan warganegara, sementara 22,053 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 449 rakyat asing, katanya.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata, seramai 194 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 120 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan daripada 22,133 kes yang dilaporkan hari ini, 146 atau 0.66 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala 21,987 kes (99.34 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Bagi kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan hari ini, 30 kes atau 20.6 peratus adalah individu yang tidak divaksinasi atau yang belum lengkap divaksinasi, dan 79 kes atau 54.1 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak. Kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan tahap imuniti telah menurun.

Menurutnya sebanyak 58 kes atau 39.7 peratus kategori 3, 4 dan 5 itu melibatkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 46 (31.5%) kes mempunyai penyakit komorbid, dan satu kes melibatkan ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata 15 kes lagi pesakit kategori berkenaan telah meninggal dunia dengan dua daripadanya adalah kes ‘brought in death’ (BID).

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun ketika kes diuji dan baharu didiagnosa kebanyakan pesakit adalah pada kategori yang rendah, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori yang lebih tinggi atau sebaliknya, lalu dimasukkan ke hospital.

“Sehingga 15 Februari 2022, kes baharu Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,432 kes. Daripada 1,432 kes ini, 505 atau 35.3 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5, dan 927 kes (64.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“25 kes baharu telah dimasukkan ke ICU dan 1407 kes baharu telah ditempatkan di katil biasa. Pada yang sama, 984 kes COVID-19 telah didiscaj daripada ICU dan katil biasa di hospital,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR