
Data kes kematian akibat Covid-19 di seluruh Malaysia semalam, 28 Mac 2022.
Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (28 Mac 2022) meningkat semula kepada 54 kes, berbanding 34 yang direkodkan pada Ahad.
Data laman sesawang CovidNOW Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 16 daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan sebelum mangsa dibawa ke hospital atau kes ’brought in death’ (BID).
Jumlah semalam menjadikan keseluruhan kes kematian sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 34,842 kes, termasuk 7,348 kes BID.
Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada terdapat dalam kalangan 214,723 pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah turut meninggal dunia dan dikategorikan kes BID.
Lima negeri dan Wilayah Persekutuan tidak melaporkan kes kematian akibat Covid-19 semalam iaitu Pahang, Perlis, Sabah, Labuan dan Putrajaya.
Sementara, Selangor mencatat jumlah kematian harian tertinggi semalam berbanding negeri-negeri lain, dengan 13 kes, termasuk tiga kes BID.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian di negeri berkenaan mencecah 10,510 kes, termasuk 2,273 kes BID.
Sehingga semalam, Selangor mencatat 1,167,650 kumulatif kes positif dengan 1,062,570 pesakit telah pulih, dan 94,570 kes masih aktif, dengan 93,261 pesakit menjalani kuarantin di rumah.
Selain itu, seramai 1,092 pesakit dimasukkan ke hospital; 170 ditempatkan di PKRC; dan 47 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagi negeri-negeri lain pula, Perak mencatat sembilan kematian diikuti Kuala Lumpur (lapan); dan masing-masing lima di Kedah serta Negeri Sembilan.
Johor, Sarawak serta Terengganu pula masing-masing mencatat tiga kes kematian, manakala masing-masing dua di Kelantan serta Melaka; dan satu di Pulau Pinang.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 28 Mac 2022.