
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 31 Mac 2022. - Sumber Covidnow KKM
Seramai 48,516 individu dewasa menerima suntikan dos penggalak semalam (31 Mac 2022), hari terakhir sebelum status MySejahtera berubah menjadi tidak lengkap sekiranya mana-mana individu belum mengambil dos ketiga itu.
Sejak 1 Oktober 2021 hingga semalam seramai 15,808,761 atau 67.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak, sekali gus melengkapkan tiga dos suntikan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari tahun lalu.
Sementara itu, seramai 22,953,296 atau 97.6 peratus individu dewasa telah menerima dua dos, manakala 23,228,967 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Selain itu, seramai 2,851,819 atau 91.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap menerima dua dos, dan 2,948,197 atau 94.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Belum ada program suntikan dos penggalak kepada remaja setakat ini.
Sejak 3 Februari lalu hingga semalam juga seramai 310 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Manakala seramai 1,329,638 atau 37.4 peratus kanak-kanak lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Mulai hari ini, status vaksinasi Covid-19 akan menjadi tidak lengkap bagi penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas, yang belum menerima dos penggalak.
Bagi kumpulan berkenaan, mereka masih boleh melakukan aktiviti yang dibenarkan ke atas individu yang menerima vaksinasi lengkap seperti makan di retoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) seseorang individu diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi dos primer apabila telah memenuhi kriteria berikut:
Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua; dan
Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan.