15 saat sahaja untuk dijangkiti varian Delta: KP Kesihatan

Varian Delta Covid-19 hanya mengambil masa kira-kira 15 saat sahaja untuk menjangkiti individu yang gagal mematuhi protokol kesihatan termasuk tidak memakai pelitup muka atau tidak menjaga penjarakan fizikal.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian itu berbeza dengan virus Covid-19 lain yang mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk menjangkiti individu dalam jarak satu meter.

Varian Delta – pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu – kini sudah merebak di lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Jumlah kes dijangkiti varian Delta paling banyak dilaporkan di Asia Tenggara adalah di Indonesia – negara keempat paling padat penduduk di dunia yang kini telah menjadi titik panas Covid-19 di Asia.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata sifat varian Delta ini sentiasa berubah-ubah dan hanya dalam tempoh masa 15 saat sahaja ianya boleh merebak serta berjangkit melalui udara.

“Disebabkan itu, walaupun sudah divaksinasi, kita nasihatkan orang ramai untuk kekal memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Masyarakat juga perlu elak berada di tempat yang sesak atau sempit kerana jangkitan boleh berlaku di kawasan yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

“Tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin kerana kita yakin ini dapat membendung kita daripada mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih teruk,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebagai contoh, katanya Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ini menunjukkan peningkatan kes yang mendadak kerana terdapat varian Delta.

“Sebelum ini jangkitan di Labuan meningkat sebanyak 1,340 kes dalam masa satu minggu. Kita kesan terdapat jangkitan varian Delta yang dibawa oleh pekerja industri perkapalan. Dalam masa yang sama kita pertingkatkan tindakan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi.

“Bila pemberian dos kedua mencecah lebih 52 peratus di Labuan, kita lihat kes di wilayah berkenaan sudah boleh dikawal dan kini hanya ada sekitar 26 kes dilaporkan,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat penularan varian Delta di Labuan, jumlah kes berjaya dikawal susulan peningkatan program pemberian vaksinasi.

“Jumlah kes di Labuan ketika itu sangat tinggi, disusuli Kuala Lumpur dan Selangor. Tindakan kawalan vaksinasi ini ternyata mampu membendung penularan. Dalam masa tiga minggu sahaja, ia sudah mampu dikawal,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR