15 kematian semalam, 140,336 kes Covid-19 masih aktif

Sepuluh pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia di hospital, semalam, manakala lima lagi meninggal sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 32,114 kes, termasuk 6,488 kes BID, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawangnya Covidnow tengah malam tadi, Johor dan Perak masing-masing mencatat empat kes kematian, diikuti dua kes di Kelantan dan Terengganu dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, dan Sabah.

Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan, kini merekodkan 3,939 kumulatif kes kematian. Sehingga semalam seramai 280,008 individu dijangkiti Covid-19, dengan 256,592 daripadanya telah sembuh.

Negeri itu juga merekodkan 19,477 kes aktif dengan 17,876 individu kini menjalani kuarantin di rumah; 598 ditempatkan di PKRC; 978 dimasukkan ke hospital; dan 25 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Jumaat lalu, seramai 3,055,224 atau 80.5 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, manakala 3,086,467 atau 81.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,594,321 atau 42.0 peratus menerima dos penggalak.

Sebanyak 63 kluster Covid-19 masih aktif di negeri itu dengan 25 daripadanya melibatkan kluster pendidikan; tempat kerja (24); kumpulan berisiko tinggi (sembilan); masing-masing dua kluster komuniti dan keagamaan; serta satu kluster import.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian di Perak juga meningkat kepada 1,461 kes, dengan negeri itu mencatat kes positif terkumpul sebanyak 137,041 dan 132,195 kes sembuh.

Sehingga semalam negara merekodkan 3,019,163 kumulatif kes positif dengan 2,846,713 pesakit telah sembuh, dan 140,336 kes masih aktif, meningkat 17,345 kes, berbanding 122,991 kes pada Jumaat.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 127,984 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah; 6,254 ditempatkan di PKRC; 5,922 dimasukkan ke hospital; dan 176 pesakit dirawat di ICU, dengan 98 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Jumaat lalu, seramai 25,730,652 atau 78.8 peratus populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, telah lengkap divaksinasi, manakala 26,182,381 atau 80.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 13,068,547 atau 55.5 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR