1,465 jangkitan di Selangor hari ini, 13 kluster baharu Covid-19 dikesan

Selangor kekal menjadi penyumbang tertinggi jumlah jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi dengan mencatat peningkatan kes baharu dua hari berturut-turut.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri, Selangor merekodkan 1,465 kes baharu hari ini berbanding 1,196 semalam, menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu sebanyak 762,959, dengan 735,632 pesakit sembuh dan 9,833 kes kematian.

Sehingga semalam negeri itu merekodkan 17,606 kes aktif dengan 15,471 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,069 ditempatkan di PKRC; 995 dimasukkan ke hospital; dan 71 dirawat di ICU, termasuk 47 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dari segi vaksinasi, sehingga semalam lebih 10.15 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk negeri itu, dengan 93.6 peratus atau 4,728,846 individu telah lengkap divaksinasi, manakala 95.1 peratus atau 4,814,346 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Dalam tempoh sama lima lagi negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu hari ini, membabitkan Pahang sebanyak 413 kes, berbanding 363 kes semalam.

Ini diikuti Kedah sebanyak 404 kes hari ini, 365 kes semalam; Sabah (322 kes baharu, 307 semalam); Negeri Sembilan (251 kes baharu, 212 semalam); dan Perak (183 kes baharu, 170 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 13 kluster baharu dikesan hari ini – tertinggi sejak 1 Disember lalu.

Jumlah itu, katanya menjadikan keseluruhannya 6,005 kluster dikesan sejak awal tahun lalu dengan 5,760 telah ditamatkan dan 245 masih aktif.

“Daripada 5,020 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 87 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,933 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh itu juga sebanyak 4,525 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif pulih 2,581,395 atau 96.6 peratus daripada 2,673,019 kumulatif positif.

Dr Noor Hisham berkata seramai 428 pesakit dirawat di ICU, termasuk 237 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR