145,000 vaksin sehari dijangka diberi dengan bantuan pengamal perubatan swasta

Penerima vaksin yang hadir di PPV Axiata Arena, akan disemak jadual temu janji dan identiti sebelum menerima suntikan vaksin. – Gambar Agenda Daily

Sebanyak 145,000 dos vaksin Covid-19 sehari dijangkakan dapat diberi kepada orang ramai dengan bantuan pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada bulan depan.

Menteri Penyelaras program Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata lebih 430,000 dos vaksin Covid-19 sudah dibekalkan kepada pengamal perubatan swasta yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corp Sdn Bhd setakat Jumaat lepas.

“Pengamal Perubatan Swasta akan menyumbangkan 60,000 dos sehari minggu ini dan akan meningkat ke 78,000 sehari pada 23 Jun. Jangkaan kami pengamal perubatan swasta akan dapat menguruskan 145,000 dos sehari bulan depan (Julai),” katanya lapor Bernama semasa sidang media hari ini.

Dalam sidang media sama, Khairy berkata bayaran RM14 diberikan kepada pengamal perubatan swasta dan RM1 dibayar kepada ProtechHealth iaitu syarikat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), untuk PICK itu.

“Pembayaran kepada ProtectHealth adalah untuk melaksakan program antara lainnya seperti latihan, pembangunan sistem proprietari, mendaftarkan pengamal perubatan swasta dan memantau aktiviti vaksinasi,” katanya lagi.

Khairy dalam pada itu berkata sebanyak enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersaiz mega telah dibuka di seluruh negara dan seramai 30,000 orang dapat divaksinasi setiap hari di enam PPV mega itu.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penyertaan pengamal perubatan swasta masih dibuka khususnya untuk berkhidmat di pusat saringan Covid-19 dan PPV mengikuti lokaliti berhampiran di seluruh negara.

“Penyertaan ini selaras dengan pendekatan ‘whole of government, whole of society’ dan diharapkan akan mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status imuniti kelompok dan seterusnya berjaya melandaikan keluk penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya.

Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari portal KKM di http://www.moh.gov.my – Iklan Pembelian Perkhidmatan Doktor Pakar Swasta dan Doktor Swasta Secara Kontrak Dalam Tempoh Penularan Wabak Covid-19.

POPULAR