140,598 pesakit kuarantin kendiri, 4 negeri sifar kematian semalam

Kematian

Hanya tiga negeri mencatat peningkatan kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, yang turut menyaksikan penurunan kes kepada 208 berbanding 240 kes yang dilaporkan pada Selasa.

Pada masa sama empat negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Labuan, dan Putrajaya mencatat sifar kematian, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini dalam laman sesawangnya COVIDNOW hari ini.

Tiga negeri mencatat peningkatan kes kematian membabitkan Selangor yang merekodkan 76 kes semalam berbanding 41 kematian pada Selasa; Pulau Pinang (30 kes semalam, 18 kes Selasa); dan Perlis (4 kes semalam, satu kes Selasa).

Secara keseluruhan sejak kematian pertama akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini pada awal tahun lalu sehingga semalam, 26,143 pesakit telah meninggal dunia, termasuk 5,232 kes dikategorikan ‘brought in death’ (BID) setelah meninggal sebelum dibawa ke hospital.

Semalam sahaja, daripada 208 pesakit yang meninggal dunia, 64 daripadanya adalah kes BID.

Kes aktif

Sementara itu, KKM turut melaporkan sehingga semalam jumlah kes Covid-19 yang masih aktif di seluruh negara turun lagi kepada 169,718 pesakit berbanding 174,492 pada Selasa.

Daripada jumlah itu, 140,598 pesakit sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah – turun lagi berbanding 144,631 pesakit yang dicatatkan pada Selasa dan 147,848 pesakit pada Isnin.

KKM turut memaklumkan sehingga semalam 18,957 pesakit kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh negara, turun daripada 19,598 pesakit yang dicatatkan pada Selasa.

Statistik KKM juga menunjukkan 9,185 pesakit kini dirawat di hospital seluruh negara sehingga semalam, turun lagi berbanding 9,278 pesakit pada Selasa dan 9,554 pada Isnin.

Daripada jumlah pesakit yang dirawat di hospital itu, 1,486 direkodkan di hospital seluruh Johor; diikuti Selangor (1,258); Sabah (1,104); Sarawak (1,045); Kelantan (799); Perak (763); Pulau Pinang (563); Kedah (410); Pahang (396); Kuala Lumpur (352); Terengganu (301); Negeri Sembilan (271); Melaka (215); Perlis (164); Putrajaya (56); dan Labuan (dua).

Seramai 978 pesakit, termasuk 565 yang memerlukan alat bantuan pernafasan, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital di seluruh negara, turun sedikit daripada 985 pesakit yang direkodkan pada Selasa.

Statistik KKM juga menunjukkan Selangor merekodkan jumlah tertinggi pesakit Covid-19 dirawat di ICU iaitu 157 pesakit; diikuti Sabah (122 pesakit); Sarawak (109 pesakit); Perak (91 pesakit); Pulau Pinang (84 pesakit); Johor (83 pesakit); dan Kedah (79 pesakit).

Kelantan pula mencatatkan 72 pesakit di ICU; Kuala Lumpur (51 pesakit); Melaka (40 pesakit); Pahang (33 pesakit); Terengganu (30 pesakit); Negeri Sembilan (14 pesakit); Perlis (10 pesakit); Labuan (dua pesakit); dan Putrajaya (satu).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Data 29 September 2021.

KKM memaklumkan sehingga semalam, 85.7 peratus atau 20,053,472 individu dewasa di seluruh Malaysia melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sama ada vaksin dua dos atau dos tunggal.

Sementara 94.1 peratus atau 22,017,043 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjadikan keseluruhan dos yang diberikan kepada golongan itu sejak 24 Februari lalu mencecah 41,974,504 dos.

Bagi PICK Remaja pula, sehingga semalam 1.3 peratus atau 40,206 kanak-kanak berusia 12 tahun hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 43.0 peratus atau 1,352,870 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam sahaja sebanyak 175,690 dos diberikan membabitkan 168,534 remaja yang menerima dos pertama dan 7,156 melengkapkan dos kedua, menjadikan keseluruhannya 1,393,076 dos vaksin diberikan menerusi PICK Remaja.

KKM memaklumkan sehingga semalam secara keseluruhannya 43,367,580 dos vaksin diberikan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 61.5 peratus atau 20,093,678 daripada populasi keseluruhan Malaysia melengkapkan suntikan masing-masing.

Sementara itu, 71.5 peratus atau 23,369,913 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Semalam sahaja, sebanyak 338,661 dos vaksin diberikan, membabitkan 190,599 penerima dos pertama dan 148,062 individu lengkap divaksinasi.

Kes baharu

Sepuluh daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam seiring kenaikan jumlah kes baharu.

Dalam tempoh itu 12,434 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 11,332 kes pada Selasa, menjadikan keseluruhan jangkitan Covid-19 di seluruh negara sejak awal tahun lalu meningkat kepada lebih 2.23 juta kes.

Kadar kebolehjangkitan

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 29 September 2021 untuk seluruh negara adalah 0.89.

Melaka dan Putrajaya masing-masing mencatat Rt 1.01 manakala negeri lain antara 0.83 dan 0.98.

Kluster baharu

Sebanyak 15 kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, dengan Kelantan mencatat enam kluster melibatkan 47 individu.

Secara keseluruhan, sebanyak 5,462 kluster dikesan sejak penularan Covid-19 di negara ini awal tahun lalu, namun 4,338 daripadanya telah ditamatkan, manakala 1,124 klsuter lagi masih aktif.

Kes sembuh

Dalam tempoh 24 jam semalam, 17,000 pesakit sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada lebih 2.03 juta pesakit yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR