
Antara rumah yang rosakakibat ribut di Besut malam tadi, 9 Julai 2022. - Gambar FB
Sekurang-kurangnya 140 rumah rosak akibat ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah Besut, malam tadi tatkala penduduk bersiap menyambut Hari Raya Korban, hari ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Azbi Salleh berkata kira-kira 130 rumah rosak di 10 kampung di Kuala Besut, manakala selebihnya di Kampung Batu 13 dan Kampung Bekok di Hulu Besut.
Memetik Bernama beliau berkata dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang.
“Antara kawasan yang terjejas teruk di sini (Kuala Besut) ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai, Kampung Tengah, Kampung Nail dan Kampung Payang.
“Kejadian ribut kuat berlaku serentak dengan hujan lebat, namun nasib baiklah tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya.
Azbi berkata pihaknya difahamkan bahawa kerajaan negeri akan membantu membaiki bumbung rumah yang rosak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dapat tinggal di rumah mereka dengan lebih sempurna.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Atap Napisah Hussin, 67, berkata dia berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin sekelip mata.
“Ketika kejadian berlaku, saya hanya berdua bersama seorang anak lelaki saya berusia 34 tahun yang terlantar akibat penyakit strok.
“Pada mulanya hujan lebat kemudian diikuti ribut dan secara tiba-tiba bumbung rumah terbang. Saya amat takut terutama memikirkan keadaan anak lelaki saya yang tidak dapat bergerak,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu mengangkat anaknya ke rumah berhampiran yang lebih selamat.