13 negeri catat kes tiga angka, Sarawak kekal tertinggi

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun kepada 11,889 kes berbanding 12,735 yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu, kepada hampir 2.26 juta kes.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), lapan negeri merekodkan peningkatan kes, namun kesemuanya tidak melebihi empat angka.

Perak merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 959 kes hari ini berbanding 913 yang dicatat semalam, diikuti Pahang (831 kes hari ini, 697 semalam); dan Pulau Pinang (779 kes hari ini, 763 semalam).

Sementara itu Melaka merekodkan 378 kes baharu, meningkat berbanding 194 kes semalam; Kuala Lumpur (289 kes hari ini, 258 semalam); Negeri Sembilan (197 kes hari ini, 132 semalam); Putrajaya (36 kes hari ini, 28 semalam); dan Labuan (dua kes hari ini, satu semalam).

Bagaimanapun, Sarawak kekal mencatat jumlah kes tertinggi keseluruhan dengan 2,413 kes baharu berbanding 2,487 semalam, manakala Selangor merekodkan 1,568 kes hari ini (1,940 semalam).

BERITA BERKAIT
POPULAR